Baru-baru ini tular gambar kemalangan di media sosial antara Perodua Viva dan Lamborghini Huracan di Petaling Jaya yang menyebabkan kereta Viva milik seorang ibu tunggal telah mengalami kerosakan teruk.

Walau bagaimanapun, kedua-dua pihak yang terlibat tidak cedera dan mereka telah mencapai kata sepakat yang amat bertanggungjawab serta menggembirakan.

Susulan kemalangan itu, penyelesaian antara kedua-dua pemilik kereta menjadi satu tindak balas paling membuat hati semua orang bercampur gembira dan sebak, membuktikan bahawa rakyat Malaysia benar-benar menghargai satu sama lain.

Azman Nor/Facebook

Seorang pengguna Facebook Azman Nor dalam satu posting, mendedahkan pemilik Lamborghini Huracan yang dikenali sebagai Encik Thomas yang memandu kereta sport mewah itu nampaknya telah menyelesaikan masalah pemilik Perodua Viva yang keretanya telah remuk teruk dilanggar dengan kemurahan hatinya.

Ibu tunggal empunya kereta Viva tidak dibayar secara tunai untuk menyelesaikan kerosakan kereta itu, sebaliknya pemilik Lamborghini ini telah menghadiahkannya dengan sebuah kereta Perodua lain bernama Myvi, mengganti kerosakan total itu secara percuma!

Menurut Encik Thomas kepada Sinar Harian, dia telah tampil menyelesaikan masalah ibu tunggal itu yang juga peniaga dalam talian dengan menggantikan kereta Viva kepada Myvi kerana tidak mahu punca pendapatannya terjejas teruk akibat kemalangan itu.

Azman Nor/Facebook

Katanya,“Didapati jumlah insurans kereta itu adalah sangat rendah, dan kalau mahu menuntut pun hanya akan mendapat beberapa ribu sahaja, tambahan prosesnya akan mengambil masa beberapa bulan yang pasti membebankan dia.”

“Jadi, saya fikir lebih baik tolong sahaja dia dengan hadiahkan sebuah kereta Myvi secara percuma,” jelas Encik Thomas yang teramat pemurah dan baik hati.

Tambahnya lagi, dia memahami perasaan apabila seseorang tiada kenderaan untuk bergerak tambahan apabila ia digunakan untuk mencari rezeki dan meneruskan kehidupan menyara keluarga.

Azman Nor/Facebook

“Saya tahu keadaan bila tiada kenderaan. Saya tidak bermaksud dengan ada wang kita boleh beli apa sahaja tetapi saya cuba yang terbaik untuk meringankan beban ibu tunggal selain meminimumkan kerosakan yang ada,” katanya.

Tuntutan insurans bagi kereta Perodua Viva itu pula tetap diteruskan bagi membolehkan wang yang akan diperolehi boleh disimpan untuk kegunaan harian ibu tunggal ini dan keluarganya.

Sementara itu Azman Nor memberitahu di Facebook, “Dia seorang lelaki sejati yang baik hati. Myvi akan dibawa hari ini (9 April) untuk proses persiapan sebelum ia akan diserahkan kepada mak cik.”

Azman Nor/Facebook

Dengan hadiah Myvi baharu, ibu tunggal dengan tiga anak ini sudah pasti dapat memandu dalam kereta yang lebih selamat dan selesa ketika menjalankan perniagaan makanan dalam taliannya.

Apa yang penting semuanya selamat dan berkeadaan baik-baik belaka, walaupun kes rezeki datang bergolek hikmah daripada musibah itu mungkin akan berlaku satu dalam seribu atau sejuta.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI

Video Popular