Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan yang ‘mungkin’ akan berakhir pada 14 April, rata-rata kalangan orang menyatakan betapa sukar kehidupan mereka kerana pergerakan bebas dan aktiviti harian telah dibataskan oleh kerajaan demi mengekang penularan pandemik virus PKC (Covid-19).

Namun sambil mematuhi perintah kerajaan, masih ramai yang cukup makan dan mampu berbelanja barangan keperluan harian yang terputus bekalan kerana gaji bulanan tetap masuk dan berjalan.

Akan tetapi, bagaimana pula dengan nasib golongan kurang berkemampuan seperti keluarga budak lelaki ini yang katanya sedang kelaparan kerana sudah 3 hari tidak makan dan situasinya sudah pasti menyentuh hati ramai.

Baru-baru ini tular satu rakaman video dengan lebih 292,000 tontonan yang dimuat naik di laman Facebook oleh salah seorang anggota misi bantuan kemanusiaan, Mohd Zaki Bin Salleh yang telah terserempak dengan adik Krishnan dari Kampung Pengkalan Lebai, Sungai Petani di Kedah.

Mohd Zaki berkongsi kisah mengenai budak lelaki berusia 13 tahun ini dan keluarganya yang sudah 3 hari tidak makan nasi kerana ketua keluarga kehilangan sumber pendapatan.

Menerusi video berdurasi 30 saat yang telah menjadi tular, adik Krishnan dirakam sedang bertanya kepada Mohd Zaki sama ada beliau ada membawa makanan supaya dapat diberikan kepadanya dan ahli keluarganya yang lain.

Menurut catatan Mohd Zaki di Facebooknya, adik Krishnan dan keluarganya dengan 5 ahli sudah 3 hari tidak dapat makan nasi kerana bapanya sudah tiada wang.

Mohd Zaki Bin Salleh/Facebook

Selain berikhtiar membantu keluarga dengan bertanya sumbangan makanan, adik Krishnan turut memberitahu bahawa bapanya tidak dapat bekerja sebagai pencuci kereta dengan bergaji harian ketika PKP sehingga menyebabkan mereka sekeluarga kehilangan sumber pendapatan.

Selepas mendengar penjelasan adik Krishnan yang sangat kasihan ini, Mohd Zaki telah memberikannya 5 bungkus nasi putih berlauk ikan keli, sambal belacan dan gulai buat santapan mereka sekeluarga. 

Susulan rakaman video yang tular serta mendapat simpati ramai warganet, Mohd Zaki telah membuat keputusan untuk melawat rumah keluarga adik Krishnan untuk memberi sumbangan berupa bahan makanan kepada mereka.

Mohd Zaki Bin Salleh/Facebook

Dalam satu posting lain, Mohd Zaki menulis :

“Petang tadi saya sempat pergi ke rumah keluarga adik Krishnan. Berbual hampir 30 minit.

Sebelum itu, kami terserempak dengan adik Krishnan dan kakaknya naik basikal hendak ke mana kami tidak pasti.

Kami tahan adik Krishnan di tepi jalan dan cakap hendak pergi rumah beliau. Permulaan adik Krishnan macam takut-takut hendak jumpa kami. Bila kami cakap kami bawa makanan hendak bagi dekat keluarga dia di rumah, baru dia mengikut kami dan membawa kami terus ke rumah beliau.

Sampai di rumah beliau, permulaan ibunya seperti wajah kerisauan melihat kami. Kami terus keluarkan 2 bungkusan bahan mentah dan kenalkan diri kami.

Rupanya keluarga adik Krishnan salah faham tentang video yang tular di Facebook mengenai tingkah laku anaknya meminta makanan kepada kami.

Bapanya tidak suka anaknya meminta-minta seperti meminta sedekah. Kata ibunya, kerana pada ketika itu, bapanya tidak ada keluar sekejap waktu kami sampai.

Saya jelaskan panjang lebar perkara sebenar yang berlaku dengan menyatakan bukan anaknya meminta-minta. Pada waktu itu, kami dalam misi bantuan dan semua yang ada di kawasan itu dapat makanan yang kami salurkan.”

Mohd Zaki Bin Salleh/Facebook

Mohd Zaki turut menjelaskan adik Krishnan merupakan insan bertuah kerana kisahnya yang tular di media sosial telah menggerakkan pihak mereka untuk menyalurkan bantuan kepada keluarga ini bagi meringankan beban akibat PKP.

Penjelasan Mohd Zaki akhirnya telah mengurangkan sedikit kerisauan ibu adik Krishnan yang tidak mahu anaknya dianggap sebagai peminta sedekah yang meminta simpati orang ramai.

Melalui pertemuan tersebut, Mohd Zaki berpeluang mengenali keluarga 5 beranak ini dan kesukaran dialami mereka yang tinggal di dalam rumah sewa yang menempatkan 3 keluarga berlainan.

Mohd Zaki turut berkata, oleh kerana bapa adik Krishnan belum lagi menghubunginya untuk mendapatkan bantuan tambahan, maka beliau tidak dapat berkongsi lebih lanjut tentang keluarga ini. 

Namun apa yang penting, dapur keluarga ini akan dapat berasap selama beberapa hari selepas Mohd Zaki dan pasukan prihatinnya berjaya menyalurkan sedikit bantuan berupa keperluan asas bahan makanan buat mereka.

Syabas diucapkan kepada Mohd Zaki dan pasukan bantuannya. Semoga urusan serta usaha anda semua membantu golongan memerlukan ketika waktu sukar ini akan terus diberkati dan dipermudahkan.

Bagi anda yang tidak dapat membantu seperti Mohd Zaki dan pasukannya, sila pastikan anda kekal duduk di rumah sepanjang PKP kerana cara itu juga satu sumbangan kepada negara.

Pastikan jangan pula anda menjadi golongan terbolos melakukan aktiviti kunjung-mengunjung keluar rumah dan daerah semasa PKP sehingga mampu mewujudkan sub-kluster baru yang akhirnya lebih menyukarkan kehidupan golongan yang sedia ada sukar, semuanya atas sumbangan orang-orang yang mementingkan diri sendiri dan tidak mahu menjaga nyawa orang lain yang tidak bersalah.

Tonton video di bawah:

*Pihak Epoch Times menggunakan istilah ‘Virus PKC’ terhadap COVID-19 ekoran penyembunyian dan salah urus oleh Parti Komunis China yang ‘membenarkan’ virus itu tersebar di seluruh China sehingga mencetuskan pandemik global.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular