- Era Baru Malaysia - http://www.erabaru.com.my -

Waspada guna aplikasi Zoom, rakaman video peribadi anda mungkin terdedah ancaman penggodam

Teknologi terkini sangat membantu dalam memastikan kita semua dapat berhubung sepanjang tempoh PKP. Syarikat tiada masalah mengadakan mesyuarat dan terus bekerja, pembelajaran dalam talian dapat dijalankan atau anda sendiri mengadakan panggilan kumpulan untuk terus berhubung dengan semua rakan.

Aplikasi seperti Zoom digunakan secara lebih meluas pada masa kini berbanding sebelumnya dalam mengekalkan hubungan dan interaksi satu sama lain secara maya.

Walau bagaimanapun, kemudahan aplikasi yang canggih ini telah memberi kelebihan kepada para penggodam atau pihak tidak bertanggungjawab dalam memudahkan kerja jenayah siber mereka. 

Unsplash [1]/Gambar Hiasan

Baru-baru ini, satu laporan yang diterbitkan oleh Washington Post mendedahkan bahawa ribuan rakaman panggilan video peribadi telah dibiarkan terdedah, mudah diakses kepada sesiapa sahaja yang berada dalam laman web terbuka. 

Laporan yang mengejutkan itu mengatakan bahawa rakaman video seperti sesi terapi peribadi, mesyuarat perniagaan syarikat yang melibatkan perbincangan rekod kewangan dan kelas dalam talian di mana butiran peribadi pelajar didedahkan boleh dilihat oleh sesiapa sahaja dengan mudah, melihat rakaman yang boleh diakses menerusi ‘carian mudah dalam talian’.

Laporan itu menyatakan bahawa semua rakaman video Zoom dinamakan dalam cara yang sama, menjadikannya terlalu mudah bagi sesiapa sahaja yang mahu memuat turun atau melihat ribuan panggilan peribadi semua orang di seluruh dunia.

Unsplash [1]/Gambar Hiasan

Bukan itu sahaja, terdapat bukti dalam laporan yang mencadangkan bagaimana Zoom menggunakan perisiannya sendiri untuk merakam panggilan video ini dan menyimpannya menerusi sistem simpanan dalam talian yang berasingan tanpa kata laluan atau sekuriti, supaya video yang telah dibocorkan tidak menjejaskan pengguna lain yang masih berada di dalam sistem aplikasi itu sendiri.

Walau bagaimanapun, satu penjelasan penting yang perlu dibuat, tidak semua video Zoom direkodkan tetapi hos panggilan video ini boleh memilih untuk merakam dan menyimpannya sama ada dalam komputer peribadi atau pelayan Zoom itu sendiri tanpa mengira sama ada mereka mempunyai kebenaran peserta atau tidak. Peserta lain akan menerima notifikasi apabila seorang hos menekan kekunci rakam.

Bekas penyelidik Agensi Keselamatan Nasional Amerika Syarikat, Patrick Johnson berkata Zoom boleh ‘melakukan tugas yang lebih baik’ untuk mengingatkan pengguna supaya melindungi kandungan rakaman video mereka.

Pexels [2]/Gambar Hiasan

Patrick Jackson memuat naik dalam Twitternya untuk berkongsi artikel itu dan menekankan bahawa orang ramai harus ‘hanya merakam panggilan video jika ia benar-benar perlu dan sentiasa peka dengan langkah keselamatannya di mana sahaja video dihoskan’ kerana katanya satu carian untuk rakaman video menggunakan satu kelalaian Zoom akan membawa kepada penemuan sehingga lebih 15,000 hasil carian.

Video yang terdedah juga boleh didapati di Youtube dan Vimeo. Sebagai tindak balas, syarikat tersebut telah mengeluarkan kenyataan dengan memberi nasihat kepada pengguna supaya berhati-hati sekiranya mereka mahu menyimpan rakaman video.

“Sekiranya hos kemudian memilih untuk memuat naik rakaman mesyuarat mereka di mana-mana sahaja, kami menyeru mereka untuk menggunakan langkah cermat dan berhati-hati serta telus dengan peserta mesyuarat, memberi pertimbangan secara teliti sama ada mesyuarat itu mengandungi maklumat sensitif dan harapan kepada peserta secara munasabah,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan portal berita.

Pexels [2]/Gambar Hiasan

Ketua Pegawai Eksekutif Zoom, Eric Yuan, mendakwa bahawa aplikasi itu telah berjaya mencapai ‘lebih daripada 200 juta peserta pertemuan harian’ pada bulan Mac, yang mana rakyat Malaysia juga merupakan sebahagian daripada populasi komuniti itu.

Sila berwaspada sekiranya anda merancang untuk merakam perbualan menggunakan aplikasi video Zoom dan lain-lain. Sesiapa sahaja dengan niat jahatnya mungkin memiliki akses untuk melihat butiran peribadi anda.

loading...