Semua sedia maklum, media sosial memainkan peranan penting dalam menyebarkan maklumat berguna dan terkini dengan pantas, tambahan ketika negara berdepan krisis pandemik COVID-19.

Namun, selain mendapatkan maklumat terkini yang sahih dan dipastikan oleh mereka yang pakar dalam bidang masing-masing melalui saluran benar, terdapat segolongan pengguna media sosial yang bertindak mengguna ‘fikiran dan kepandaian sendiri yang disangka benar’ dengan niat menyalahguna.

Seorang pengguna Facebook dan ahli farmasi bernama Nazim Efendy M Ariff amat terkejut sehingga terpaksa menegur sikap sesetengah pelanggan yang berkunjung ke farmasinya untuk mendapatkan nasihat ketika membeli ubat-ubatan berkaitan pandemik COVID-19, dengan kejahilan pemahaman mereka yang didapati dari Facebook.

Pexels/Gambar Hiasan

Berikut adalah beberapa situasi pelanggan yang menemui ahli farmasi Nazim Efendy dengan kejahilan pemahaman mereka setelah mendapat informasi yang salah dari Facebook:

1. Semalam ada pelanggan datang cari ubat Chloroquine. Bila ditanya ada sakit apa? Selamba sahaja cakap hendak makan untuk cegah koronavirus. Tanya lagi siapa suruh ambil? Dia cakap Facebook.

2. Semalam ada pelanggan datang cari topeng muka tapi hendak yang berkain boleh cuci. Bila diberitahu yang topeng muka berfabrik tiada fungsi untuk menapis virus, dia kata Facebook cakap boleh.

3. Semalam ada pelanggan datang cari kapsul daun Neem. Belum sempat ditanya lanjut, dia kata, “Saya hendak simpan dekat rumah, kalau-kalau nanti kena virus boleh saya bersedia siap-siap. Saya baca dekat Facebook macam itu.”

4. Semalam ada pelanggan datang dengan simptom virus, demam, batuk dan susah hendak bernafas. Ditanya ada kontak rapat dengan pesakit COVID-19. Dia kata tiada, tetapi dia kata kerja jumpa orang ramai. Saya serta-merta gesa dia lakukan pemeriksaan di hospital. Dia kata tidak mengapa nanti dia boleh baca Facebook macam mana hendak buat.

Pexels/Gambar Hiasan

Media sosial sangat-sangat mempengaruhi manusia. Jadi wahai kaum media sosial, sebarkanlah kebenaran. Penat kami komuniti ahli farmasi hendak bertekak. Kadang-kadang naik angin juga.

Ini adalah kerja rutin kami sebagai komuniti ahli farmasi, untuk menyediakan informasi sahih yang boleh dipercayai disamping mengajar masyarakat! Sungguhpun tugas kami tidaklah terkenal seperti doktor, jururawat, polis, tentera dan sebagainya yang berada di barisan hadapan dalam mengekang COVID-19, tetapi kami menganggap diri sendiri penting sebagai mereka yang berkhidmat untuk masyarakat yang juga turut terdedah kepada bahaya virus ini setiap hari.

Tolong duduk rumah dan jom putuskan rantaian virus COVID-19. 

Nazim Efendy M Ariff/Facebook

Bagi anda pengguna media sosial yang bukan pakar dalam bidang perubatan dan kesihatan di luar sana, sila jangan merisikokan diri sendiri dengan berlagak tahu akan segalanya tambahan sekiranya anda tiada pengetahuan langsung mengenai virus ini. 

Kebergantungan kepada maklumat yang salah di media sosial adalah cara bahaya yang memudaratkan diri seseorang dan orang lain sekiranya mereka berdepan penyakit yang boleh membawa maut seperti pandemik COVID-19.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP KESIHATAN

Video Popular