Hampir 100 penyu laut terancam telah menetas di pantai Brazil yang ditinggalkan lengang ekoran arahan dan sekatan kerajaan Brazil dalam mengekang penularan pandemik virus PKC (COVID-19).

Menurut nota Dewan Bandaraya Paulista, tanpa terdapat gangguan para pengunjung pantai, 97 penyu laut Hawksbill yang menetas telah berjaya memasuki lautan dengan selamat pada 22 Mac.

Spesies penyu laut Hawksbill atau panggilan tempatan ‘tartarugas-de-pente’ sering terancam dan terdedah kepada bahaya sebaik sahaja menetas dengan berisiko maut akibat dimakan burung atau dihancurkan oleh kaki-kaki ribuan pengunjung pantai.

Prefeitura do Paulista/Paparan Skrin

Tetapi menerusi beberapa gambar yang dirakam kakitangan kerajaan dan dikongsikan dalam laman sesawang mereka menunjukkan puluhan makhluk kecil comel itu menuju ke arah pantai dalam perjalanan ke Lautan Atlantik dengan keadaan selamat daripada bahaya.

Akibat penyebaran COVID-19 yang semakin serius, penduduk di wilayah Pernambuco, yang terletak di timur laut Brazil telah diharamkan berkumpul di sepanjang pantai.

Mengulas tentang penampakan yang jarang berlaku, Pengurus Alam Sekitar di Paulista, Herbert Andrade berkata, “Secara keseluruhannya, 291 ekor penyu laut telah dilahirkan di pantai Paulista pada tahun 2020, dengan 87 penyu hijau dan 204 ekor penyu kura-kura. Akibat arahan separa penutupan wilayah oleh kerajaan kerana koronavirus, populasi penyu dan penelitian kelahiran mereka dapat dipantau.”

Prefeitura do Paulista/Paparan Skrin

Penyu laut Hawksbill mampu membesar sehingga 114 sentimeter panjang dan 68 kilogram berat, dikelaskan sebagai ‘kritikal terancam’ oleh Dana Hidupan Liar Dunia (WWF).

Menurut WWF, kewujudan penyu laut adalah sangat penting dalam penjagaan ekosistem laut seperti membantu mengekalkan kesihatan terumbu karang dan dasar tumbesaran rumpai laut.

Sementara itu, Setiausaha Alam Sekitar Paulista, Roberto Couto berkata bandar itu merupakan lokasi penetasan 300 penyu laut dengan 5 spesies berbeza pada tahun ini.

“Ibu penyu bertelur pada bulan Januari dan ia akan menetas dalam bulan April dan Mei. Amat menakjubkan apabila anda dapat melihat semua anak-anak penyu menetas dan mereka berjaya berlepas dengan selamat kepada kehidupan mereka di lautan. Perasaan indah dan luar biasa,” kata Roberto.

Prefeitura do Paulista/Paparan Skrin

Para pegawai di Pernambuco telah melaporkan 68 kes positif COVID-19 dengan 5 kes kematian, kini sedang berjuang untuk mengekang penyebaran virus itu.

Gabenor Pernambuco, Paulo Câmara memberitahu The Guardian, pihak kerajaan terpaksa menutup sebahagian dari kawasan itu sebagai usaha paling penting dalam memerangi pandemik yang cepat menular.

Katanya,”Hanya pengasingan akan menghentikan lengkung yang semakin meningkat dan memutuskan rantaian daripada terus berkembang di tempat lain.”

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Benua Amerika GLOBAL

Video Popular