Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ternyata memberi ruang dan masa yang sesuai untuk orang ramai di luar sana melakukan aktiviti di rumah, termasuklah kerja-kerja pembaikian peralatan di rumah.

Tetapi bagaimana mereka mahu mendapatkan bekalan peralatan jika hanya kedai runcit dan makanan sahaja yang dibuka? Mengambil kira keperluan rakyat untuk mendapatkan bekalan, pihak Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) tampil dengan satu keputusan.

MPKL/Facebook

Empat jenis perniagaan iaitu kedai baja, kedai hardware, kedai menjual makanan haiwan dan kedai menjual alat ganti kenderaan akan dibuka selaras dengan arahan semasa oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Ini adalah kelonggaran bagi orang awam untuk mendapatkan apa juga keperluan di kedai berkenaan supaya dapat menjalankan aktiviti di rumah”, jelas Yang Dipertua MPKL, Mohamad Zain A Hamid.

Tambahnya lagi, kebenaran sedemikian akan menggalakkan orang awam di daerah itu agar sentiasa mematuhi PKP sambil melakukan pelbagai aktiviti bersama keluarga di rumah.

Dalam satu kenyataan, Mohamad Zain A Hamid berkata bahawa semua perkhidmatan dan perniagaan yang dibenarkan beroperasi tersebut akan bermula pada 6 April 2020. Hari yang dibenarkan beroperasi pula adalah pada hari Isnin dan Khamis daripada jam 8 pagi hingga 4 petang.

Jika anda ada sebarang pertanyaan yang ingin diajukan, anda boleh menghubungi Jabatan Perlesenan MPKL di talian 03-31872825. Semoga orang ramai dapat menggunakan kesempatan ini untuk mendapatkan barangan yang diperlukan mereka.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: BISNES NASIONAL

Video Popular