KUALA LUMPUR- Sebelum ini pihak polis dan tentera yang mengawal pergerakan orang ramai semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah lebih bertoleransi. Namun, untuk PKP yang telah memasuki fasa kedua sejak 1 April lalu ia adalah lebih tegas dan keras.

Tiada lagi kata-kata nasihat atau pendekatan yang lebih lembut buat mereka yang ingkar dengan arahan ini.

Menurut apa yang dimaklumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada hari Jumaat lalu, setelah didapati masih ramai yang keluar rumah tanpa alasan yang munasabah.

Walaupun tiada peningkatan mendadak kes jangkitan COVID-19 direkodkan, namun kerajaan masih tidak boleh berpuas hati, selagi rantaian wabak ini tidak dapat diputuskan. Sehingga hari ini, Sabtu sebanyak 53 nyawa telah terkorban di Malaysia ekoran virus ini.

Dilaporkan sepanjang PKP dilaksanakan sehingga semalam seramai 4,189 individu ditahan dengan 1,449 daripada mereka telah pun akan dihadapkan di mahkamah, termasuk atas kesalahan mengganggu dan menghalang pihak berkuasa melaksanakan tugas.

Hal ini jelas membuktikan bahawa pihak kerajaan sangat tegas dalam menangani penularan wabak COVID-19 di dalam negara ini.

Selain itu, kerajaan mengambil langkah proaktif dengan mewujudkan Jawatankuasa Khas Kabinet, untuk merangka langkah strategik dalam melindungi prestasi ekonomi dan pasaran pekerjaan Malaysia, yang terkesan daripada pandemik COVID-19.

Jawatankuasa itu juga bertanggungjawab, untuk mencari penyeimbangan antara keutamaan ekonomi negara dengan pelaksanaan langkah PKP yang efektif, selain merancang rangka strategi untuk menyokong prestasi ekonomi Malaysia, seperti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas, serta mengurangkan kesan ke atas peluang pekerjaan dalam kalangan rakyat.

Jawatankuasa khas ini dijadual bersidang hari ini, hari ke-17 pelaksanaan PKP dan akan mengadakan mesyuarat kedua Ahad ini, sebelum hasil perbincangan jawatankuasa ini akan disampaikan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, semasa perjumpaan Majlis Tindakan Ekonomi Negara pada Isnin depan.- BERNAMA

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular