Menanti kelahiran cahaya mata apatah lagi jika anak sulung pasti mendebarkan buat kebanyakan ibu-ibu di luar sana.

Tambahan pula apabila mendengar pengalaman wanita lain yang pernah melahirkan, ia menjadikan detik itu agak mencemaskan.

Mungkin ramai di antara kita yang tertanya-tanya apa agaknya nasib buat para ibu yang hendak melahirkan anak mereka tatkala Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini sedang dilaksanakan? Bagaimana mereka berdepan dengan situasi itu?

Oleh yang demikian, seorang pengguna Facebook, Anies Surianie berasa terpanggil untuk berkongsi pengalamannya bersalin ketika COVID-19 melanda negara.

Menurutnya, jururawat klinik kesihatan pada awalnya sudah memesan agar dia bersiap sedia dengan kawalan ketat daripada pihak hospital.

Gambar hiasan/YouTube

Anies pada kenyataan Facebooknya memberitahu bahawa sepanjang berada di bilik bersalin, tiada seorang pun ahli keluarga yang dibenarkan untuk menemaninya, tidak kiralah anak pertama ataupun tidak.

Suami ataupun waris hanya boleh menghantar isteri di pintu wad bersalin sahaja. Seelok-eloknya, para ibu yang dijadualkan bersalin perlu bersedia dengan topeng penutup muka dan hidung sebagai persediaan.

Apa yang penting, ikuti tunjuk ajar dan pesan daripada jururawat dan doktor serta jangan panik. Cuba kawal pernafasan, belajar untuk curi nafas agar tidak mudah berasa penat. Elakkan daripada menangis dan menjerit. Fokus pada jururawat kerana hanya mereka yang berada di situ untuk membantu kita.

Tambah Anies, suami hanya dibenarkan menunggu di pintu depan wad bersalin untuk bersedia mengalunkan azan atau iqamat. Mereka langsung tidak dibenarkan masuk untuk berjumpa isteri masing-masing.

Gambar hiasan/Unsplash

Hanya seorang jururawat yang ditugaskan untuk menyambut kelahiran bayi wanita tersebut. Nasibnya baik kerana pada ketika itu terdapat ramai para ibu di bilik bersalin maka tidaklah berasa keseorangan. Katil menjadi tempatnya berpaut mencari kekuatan untuk bersalin.

Usai bersalin, ahli keluarga juga tidak dibenarkan menemani para ibu yang sudah bersalin. Oleh itu, mereka perlu menyediakan barangan bayi dan ibu secukupnya. Selain itu, adalah penting untuk para ibu untuk belajar cara menyusukan bayi.

Ini kerana di dalam wad, ibu perlu menyusukan sendiri bayi memandangkan itulah sahaja cara untuk menenangkan bayi. Tiada ahli keluarga yang dapat membantu menjaga bayi ketika si ibu penat bersalin.

Mujurlah jururawat sudah memesan untuk meletakkan tisu dalam lampin bayi untuk memudahkan para ibu melihat sama ada bayi mereka kencing ataupun tidak.

Anies Surianie/Facebook

Walaupun ini merupakan anak kedua buat Anies, namun pengalaman ini agak berbeza. Dia perlu ‘berjuang’ berseorangan. Mana tidaknya, mereka perlu menjaga diri sendiri selain menguruskan bayi.

Oleh kerana baru sahaja bersalin, setiap kali bergerak agak sakit buat Anies sehinggakan dia mengalirkan air mata menahan kesakitan.

Tambahnya lagi, tiada pelawat dibenarkan masuk pada waktu pagi dan petang. Jika keluarga ingin mengirimkan bekal makanan daripada rumah, mereka hanya boleh memberikannya kepada pengawal keselamatan sahaja.

Begitu juga dengan beg pakaian, pengawal yang ditugaskan untuk membawa masuk atau keluar barangan. Walau tidak dapat berjumpa, namun Anies tetap bersyukur kerana dapat juga melihat muka suaminya daripada tingkap wad.

Untuk para ibu yang bakal bersalin, Anies berpesan agar sentiasa bersedia, terutamanya barangan yang sangat diperlukan ketika di dalam wad. Jangan mengeluh dan penuhkan ilmu menyusu bayi selengkapnya.

Selain itu, minta juga suami dan ahli keluarga yang lain mendoakan agar proses bersalin selamat dan dipermudahkan. Apa yang penting, sentiasa kuat menghadapi cabaran sebegini. Kekal tenang dan positif ya!

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI KESIHATAN

Video Popular