Ekoran wabak virus PKC (COVID-19) yang melanda negara telah menyebabkan kekurangan bekalan peralatan perlindungan diri (PPE) yang dipakai oleh para petugas barisan hadapan.

Bagi mengatasi masalah tersebut, bengkel jahitan Penjara Penor, Pahang hanya mengendalikan tempahan PPE sahaja buat masa ini untuk kegunaan petugas kesihatan yang mengendalikan pesakit COVID-19.

@penjaramalaysia/Twitter

Difahamkan bahawa banduan akan mula menghasilkan PPE bermula pada jam 9 pagi hingga 5 petang pada setiap hari, di mana ia melibatkan seramai 18 orang banduan. Di bengkel, mereka akan mengukur, memotong dan menjahit material yang digunakan.

Pengarah Penjara Penor, Datuk Abu Hasan Hussain berkata bahawa mereka menerima 2,000 meter material tersebut. Menurutnya, sebanyak 5 meter diperlukan untuk menghasilkan sepasang PPE lengkap daripada kepala hingga ke kaki.

Dalam sehari, banduan berkenaan berjaya menyiapkan sebanyak 20 pasang dan produk itu kemudian akan dihantar ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang sebelum diedarkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri.

@penjaramalaysia/Twitter

“Buat masa ini, bengkel jahitan turut beroperasi pada Sabtu dan Ahad berbeza daripada kelaziman kerana menyedari keperluan mendesak terhadap PPE ekoran peningkatan jumlah pesakit COVID-19”, tambahnya.

Seorang banduan yang mesra disapa Man menyifatkan bahawa bantuannya memotong PPE mengikut pola yang diberikan adalah sumbangan kecil dirinya kepada negara yang sedang berhadapan dengan situasi mencabar.

Tambah Man, dia yang dipenjarakan kerana kesalahan dadah itu hanya mengetahui tentang COVID-19 daripada ibunya yang melawat sebelum Perintah Kawalan Perkhidmatan (PKP) dilaksanakan. “Dalam diam, saya bangga kerana masih dapat membantu walaupun daripada penjara”.

@penjaramalaysia/Twitter

Seorang lagi banduan, Saiful yang dipenjarakan ekoran jenayah samun pula berkata bahawa dirinya gembra kerana kemahiran menjahit yang dipelajarinya selepas dipenjarakan membolehkan dirinya membantu pasukan perubatan.

Selain itu, menerusi tweet daripada akaun Penjara Malaysia, banduan di Penjara Kajang juga difahamkan turut membantu dengan menghasilkan PPE untuk dibekalkan kepada Hospital Serdang, Selangor.

Syabas dan terima kasih atas bantuan daripada pihak Penjara dan semua banduan yang terlibat. Jika mereka yang berada di dalam penjara pun boleh melakukan sumbangan, maka apa lagi alasan untuk kita menyumbang kepada negara? Jadilah wira dengan kekal duduk di rumah.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI NASIONAL

Video Popular