Dibuang, dipinggirkan, disisih merupakan satu pengalaman yang amat mengerikan bagi kita. Setiap individu mahukan kehidupan yang bahagia di samping orang-orang tersayang. Tetapi apakah agaknya yang akan berlaku apabila kita sudah tua dan anak-anak enggan menjaga kita lagi lantas mengambil keputusan untuk menghantar kita ke rumah orang tua? Perit bukan?

Jadi, begitulah juga perasaan seekor kucing tua yang bernama Jimmy ini. Jimmy merupakan seekor kucing yang berusia 13 tahun. Sebelum ini, Jimmy hidup bahagia bersama tuannya. Namun, apabila tuannya sendiri terpaksa dihantar ke rumah penjagaan orang tua, maka tinggallah Jimmy sendirian tanpa kasih sayang daripada tuannya lagi.

Pada suatu malam, tuannya telah memasukkan Jimmy ke dalam sangkar lalu meninggalkan kucing yang malang itu di tepi jalan. Jeritan Jimmy yang ketika itu berada dalam keadaan panik telah menarik perhatian orang ramai yang lalu-lalang di kawasan tersebut. Simpati dengan nasib yang menimpa Jimmy, seorang lelaki telah membawa Jimmy untuk dihantar ke pusat perlindungan haiwan berdekatan. Sejurus Jimmy diletakkan di pusat perlindungan tersebut, seorang kakitangan yang menerima Jimmy telah menemui sehelai nota di dalam sangkarnya.

“Nama saya Jimmy dan saya berumur 13 tahun. Tuan saya telah pergi ke rumah penjagaan dan dia tidak boleh membawa saya. Tiada seorang pun dari kawan atau keluarga saya yang mahukan saya. Orang baik boleh memelihara saya. Saya adalah kucing yang sihat dan suka memakan dada ayam rebus. Saya juga pandai menghalau serangga dan perlu mandi dua kali sebulan”.

Pekerja pusat perlindungan itu turut menemui anak patung kesayangan Jimmy serta bekas yang mengandungi makanan kucing dan air. Dari situ kita dapat melihat satu tragedi di mana seorang manusia yang terpaksa berpisah dengan kucing peliharaannya tanpa kerelaan. Di saat akhir mereka bersama, tuannya ini masih lagi memikirkan kebajikan Jimmy dengan menyediakan makanan serta minuman dan juga anak patung Jimmy sekiranya kucing ini kesunyian.

Jimmy dijaga dengan baik di pusat perlindungan haiwan tersebut. Meskipun Jimmy sudah tua, kehilangan beberapa batang gigi dan bulunya juga tidak bersinar seperti kucing lain, Jimmy adalah seekor kucing yang sangat manja. Jimmy sentiasa ingin disayangi dan berkelakuan sangat baik. Justeru, pusat perlindungan haiwan ini mula mengambil keputusan untuk mencarikan tuan baharu buat Jimmy.

Pada masa yang sama, pusat perlindungan itu dikunjungi oleh seorang wanita yang terpesona ketika kali pertama melihat Jimmy. Sewaktu wanita ini melawat pusat perlindungan itu, dia mendapati Jimmy sedang tidur dengan lena. Bagaimanapun, ketika wanita ini membongkok untuk melihat Jimmy dengan lebih jelas, Jimmy secara tiba-tiba bangun lalu melompat ke arah wanita tersebut untuk berada di dalam pelukannya.

Terkejut dengan reaksi Jimmy, wanita ini kemudiannya nekad untuk memelihara Jimmy dan menjadikan kucing tua itu sebagai peneman bagi menghilangkan kesunyiannya. Sifat manja Jimmy semakin menjadi-jadi setelah kucing ini dibawa pulang ke rumah. Jimmy gemar bersandar pada tuannya dan merangkul erat tangan tuannya setiap kali tidur. Sejak hari itu, ianya menjadi tabiat dan Jimmy tidak akan tidur tanpa memeluk tangan tuannya.

Tindakan Jimmy ini menimbulkan satu perasaan simpati terhadap kucing malang itu. Berkemungkinan Jimmy trauma akan kehilangan tuannya sekali lagi dan disebabkan itulah, Jimmy akan sentiasa berada di sisi tuannya dan memeluk erat supaya tuannya tidak pergi meninggalkannya sendirian lagi.


Kelakuan Jimmy yang sentiasa ingin berkepit dan manja ini membuatkan tuannya semakin menyayangi kucing itu. Meskipun sudah tua, Jimmy sememangnya sangat comel dan penyayang. Emosi sungguh mendengar kisah hidup Jimmy ini. Apa-apa pun, diharap Jimmy akan sentiasa hidup bahagia di samping tuan kesayangannya itu.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular