Teringin hendak makan roti sosej Coney dari Restoran A&W tetapi anda dan keluarga tidak boleh keluar pula buat masa ini.
Rasanya kalau cukup semua bahan, anda boleh buat sendiri di rumah dalam kuantiti yang banyak dengan belanja yang minimum.
Jom, kita buat sendiri lagi baik dan jimat dengan mencuba resipi Roti Sosej ala Coney A&W hasil perkongsian pengguna Facebook, Zurina Zulkefli. [1]
Resipi Roti Sosej Coney ala-ala A&W.
Bahan-bahan untuk sos :
- 3 ulas bawang putih
- 1 biji bawang Holland
- 1 batang lobak merah
- 1 paket daging lembu kisar
- 2 sudu besar cili kering kisar
- 4 sudu besar sos tomato
- 2 sudu kecil serbuk jintan putih
- 2 sudu kecil serbuk kari pedas
- 2 sudu kecil serbuk cili
- 1 sudu kecil serbuk lada hitam
- Garam secukup rasa
- 1 cawan air.
- Minyak masak.
Cara penyediaan sos :
1.Cincang halus bawang putih, bawang Holland, lobak merah dan daging lembu kisar. Tumis kesemuanya bersama minyak panas dalam kuali.
2.Gaul rata bahan-bahan dan masukkan kesemua rempah cili kering kisar, sos tomato, serbuk jintan putih, serbuk kari pedas, serbuk cili, serbuk lada hitam bersama garam secukup rasa dan secawan air.
3.Rasa utama sos ini adalah jintan putih.
4.Kacau sehingga masak. Pastikan sos tidak terlalu cair dan tidak terlalu kering. Biarkan sos seketika.
Bahan-bahan Roti Sosej :
- Roti ‘Hotdog’
- Sosej
- 1 biji bawang Holland
Cara penyediaan Roti Sosej Coney:
1.Potong dadu 1 biji bawang Holland dan rendam di dalam air sejuk bersama secubit garam. Kemudian buang air tersebut.
2.Sosej dikukus selama 5 minit.
3.Manakala roti dikukus selama 1 minit.
4.Masukkan sosej ke dalam roti, kemudian tuang dan salut sos daging cincang, dan akhir sekali taburkan bawang Holland.
Roti Sosej Coney ala A&W sedia untuk hidangan seisi keluarga.
Jangan lupa air sarsi atau rutbir sejuk untuk diminum bersama. Selamat mencuba!