Pandemik global Virus PKC (COVID-19) sedang mengamuk di seluruh dunia dengan angka jangkitan positif terkini menunjukkan Amerika Syarikat mengatasi negara China dan Itali dengan 124,217 kes dan 2,080 kematian setakat 29 Mac 2020.

Di saat penularan pandemik sedang berada pada saat genting, ramai kakitangan pencegahan wabak yang berada di barisan hadapan berdepan keadaan bahaya ketika melakukan pemeriksaan terhadap orang awam yang disyaki dijangkiti.

Seorang pakar pulmonari dan jagaan kritikal Amerika Syarikat, Dr Timmy Zheng Tingwen berkongsi pengalaman apabila kini setiap hari beliau bersentuhan dengan pesakit yang didiagnos dengan virus yang membunuh itu di hospital dan untuk mengelakkan risiko jangkitan kepada keluarganya, beliau mengkuarantin diri dengan tidur sendirian di sebuah khemah yang dibina di garaj rumah.

Demi menjamin keselamatan dan kesihatan keluarga terpelihara, Dr Zheng kini rela duduk di dalam khemah dengan ‘ketiadaan tempat tinggal’ sempurna.

Dr Timmy Zheng Tingwen dari sebuah hospital di California, memuat naik posting di Facebook dengan menulis pada 14 Mac, seorang pesakit pertama yang disahkan dengan COVID-19 telah dimasukkan ke hospital dan ditempatkan Unit Rawatan Rapi (ICU).

Secara berseloroh beliau menulis, “Pada hari yang sama, demi melindungi keluarga, saya telah kehilangan tempat tinggal dan menjadi gelandangan, supaya tidak akan membawa virus itu ke dalam rumah.” 

Selepas menyentuh pesakit di hospital bermula hari pertama, Dr Zheng menghabiskan satu malam di dalam kereta dan empat malam di hospital. Tetapi pada hari kelima, isterinya tiba-tiba mendapat idea, bagaimana sekiranya Dr Zheng tinggal di dalam khemah yang dibina di garaj rumah?

Dr Zheng bersetuju, walaupun pada masa akan datang, banyak masa yang dihabiskan di dalam khemah untuk beliau berehat dan melakukan kerjanya yang mungkin memakan masa beberapa minggu atau bulan. 

Dr Zheng mengambil peluang ini dengan merayu kepada orang ramai, “Anda boleh menghentikan kami kakitangan perubatan daripada menjadi ‘gelandangan yang kehilangan tempat tinggal’, selagi anda duduk di rumah.”

Tulisnya, “Ramai orang menganggap diri mereka yang muda akan sentiasa sihat atau tidak sakit setelah mendapat demam dan selesema. Pesakit yang dijangkiti virus itu baru berusia 30 tahun dan kini berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi dan sedang bertarung nyawa.”

Dr Zheng merayu supaya semua orang untuk duduk di rumah demi mengelakkan wabak ini daripada terus merebak.

Dr Zheng menulis pasukan barisan hadapan di seluruh dunia iaitu semua doktor, jururawat dan petugas kesihatan lain kini bekerja keras untuk menyelamatkan nyawa para pesakit yang dijangkiti wabak.

“Sekurang-kurangnya apabila semua orang duduk di rumah, hanya dengan cara itu mereka akan dapat pulang ke rumah untuk bertemu keluarga atau orang tersayang,” tulisnya.

Posting Dr Timmy Zheng Tingwen telah menarik perhatian dan menyentuh hati dengan perkongsian lebih 39,000 pengguna Facebook. Ramai yang memberi komen dengan menyatakan sokongan serta berterima kasih kepada Dr. Zheng Tingwen dan pasukan petugas barisan hadapan.

“Terima kasih atas segalanya,” para netizen memberi sokongan.

“Berdoa untuk anda dan semua petugas barisan hadapan yang berusaha keras melakukan pengorbanan kepada dunia,” kalangan netizen menulis.

*Pihak Epoch Times menggunakan istilah ‘Virus PKC’ terhadap COVID-19 ekoran penyembunyian dan salah urus oleh Parti Komunis China yang ‘membenarkan’ virus itu tersebar di seluruh China sehingga mencetuskan pandemik global.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI

Video Popular