Seorang kerani wanita di sebuah syarikat automotif di Alor Gajah, Melaka dilaporkan mengalami kerugian sebanyak RM54,000 selepas dipercayai ditipu oleh penjual topeng penutup hidung dan mulut yang menjanjikan penghantaran sebanyak 3,364 kotak topeng penutup hidung dan mulut ke rumahnya pada malam 17 Mac.

Unsplash

Bagaimanapun, menurut laporan Bernama, kesemua topeng penutup hidung dan mulut yang dibeli tetap juga tidak dihantar, bahkan penjual topeng berkenaan yang dihubungi melalui aplikasi WhatsApp juga tidak dapat dikesan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supt Arshad Abu berkata, mangsa yang berusia 37 tahun itu mendakwa telah membeli topeng penutup hidung dan mulut berkenaan dengan tujuan untuk menjualnya semula kepada orang ramai selain untuk kegunaannya sendiri. Wang yang digunakan itu pula adalah wang yang dikumpul daripada rakan-rakannya.

“Siasatan awal mendapati mangsa telah berurusan dengan seorang suspek yang juga wanita melalui WhatsApp dari rumahnya di Taman Samarinda bagi pembelian 3,364 kotak topeng muka.

Unsplash

“Mangsa diminta membuat pembayaran ke akaun CIMB atas nama ‘Rita’ dan dia kemudian membuat bayaran secara berperingkat berjumlah RM54,000 di CIMB dan Maybank pada 16 dan 17 Mac,” katanya.

Selepas merasakan bahawa dirinya telah ditipu, mangsa membuat keputusan untuk membuat laporan polis dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Berikutan itu, Supt Arhad mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran penjualan topeng penutup hidung dan mulut yang tidak wujud ketika penularan wabak COVID-19 ini.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular