KUALA LUMPUR – Pihak kerajaan mengambil keputusan untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini.

Perkara tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi perutusan khas pada hari ini memandangkan kes jangkitan COVID-19 masih lagi berlaku.

The Malaysian Reserve

Tambahnya, pengumuman itu dimaklumkan lebih awal kepada orang ramai bagi memberi ruang kepada rakyat untuk lebih bersedia dalam menempuh tempoh lanjutan selama dua minggu berkenaan.

“Saya diberikan taklimat oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bahawa pola semasa menunjukkan kes positif COVID-19 yang baharu masih berlaku”.

“Pola ini dijangka akan berterusan untuk beberapa ketika sebelum kes-kes baharu mula menurun. Ini menuntut kerajaan untuk meneruskan PKP bagi satu tempoh yang lebih lama,” tambahnya lagi.

Beliau turut menekankan kepada kesedaran individu dalam mematuhi PKP. “Saya hendak mengingatkan, jika perintah ini tidak dipatuhi, maka ianya tidak akan membawa apa-apa kesan positif dan segala tindakan kita akan menjadi sia-sia”.

Tambah beliau lagi, keadaan berkemungkinan akan menjadi lebih sukar memandangkan kadar jangkitan wabak virus tersebut yang terlalu pantas. Sehingga kini, seramai 422,829 orang telah dijangkiti manakala kematian mencecah 18,907 orang di seluruh dunia.

Menurut MKN, peningkatan kes-kes positif COVID-19 dijangka meningkat lebih tinggi sekiranya pihak kerajaan tidak melakukan apa-apa tindakan.

Daripada satu segi, perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan telah sedikit sebanyak berjaya mengawal penularan wabak berkenaan.

“Usaha-usaha akan terus dibuat untuk mencegah penularan COVID-19 sehinggalah kita benar-benar dapat membendung wabak ini dengan cara memutuskan rantaian jangkitan sepenuhnya”, katanya lagi.

Menurut beliau, pergerakan orang ramai mesti terus dikawal. Strategi kerajaan ialah untuk mencari, menyaring, mengasing dan merawat pesakit COVID-19, di mana ujian saringan akan dilakukan pada skala yang lebih besar khususnya di kawasan berisiko tinggi.

“Tempoh kuat kuasa perintah ini akan dikaji dari semasa ke semasa. Jika terdapat keperluan untuk dilanjutkan lagi, saya akan membuat pengumuman mengenainya”, katanya yang turut meminta agar rakyat Malaysia sentiasa bersedia untuk duduk lebih lama di rumah.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular