Setiap kali menyebut tentang Secret Recipe, kek pertama yang muncul dalam minda anda pastinya Kek Coklat Indulgence yang lembut, berkrim dan sangat digemari ramai.

Setiap kali teringin untuk menikmatinya, kita pasti akan membeli sahaja di kedai. Tetapi apalah salahnya jika anda cuba untuk menghasilkan sendiri kek coklat indulgence di rumah. Lebih jimat dan puas dimakan seisi keluarga. Tetapi kali ini, kita cuba menaiktaraf dengan menghasilkan resipi Kek Keju Coklat Indulgence hasil perkongsian seorang pengguna Facebook yang bernama Muhammad Ali.

Menariknya mengenai Kek Keju Coklat Indulgence ini adalah ianya terdiri daripada empat lapisan. Meskipun kedengaran rumit, keenakan rasanya pasti akan membuatkan anda melompat kegembiraan. Jom cuba?

Bahan-bahan:

  • 1 paket biskut Oreo dibuang krimnya.
  • 40g mentega yang dicairkan.
  • 250g coklat gelap masakan (bahagikan kepada 2 bahagian)
  • 500g krim keju (bahagikan kepada 2 bahagian)
  • 375g krim putar (bahagikan kepada 3 bahagian)
  • 1 sudu besar susu pekat manis.
  • 1 sudu kecil esen vanila.
  • 66g gula kastor (bahagikan kepada 2 bahagian)

Lapisan pertama: Kerak Oreo

  • Hancurkan 100g Oreo halus-halus kemudian campurkan dengan 4g mentega yang dicairkan. Gaul sebati sebelum dimasukkan ke dalam loyang bersaiz 6 inci.
  • Ratakan dan biarkan di dalam peti sejuk selama 30 minit.

Lapisan kedua: Kek Keju Coklat

  • Cairkan 125g coklat gelap menggunakan kaedah double boil. Ketepikan.
  • Pukul 250g krim keju selama 1 ke 2 minit.
  • Masukkan 33g gula kastor.
  • Kemudian, masukkan 1 sudu susu pekat manis, 1 sudu kecil esen vanila dan pukul sehingga sebati.
  • Seterusnya, masukkan coklat gelap yang telah dicairkan tadi ke dalam adunan krim keju tersebut. Gaul menggunakan spatula sehingga sebati.
  • Kemudian di dalam mangkuk berasingan, pukul 125g krim putar sehingga menjadi kental.
  • Masukkan krim putar yang sudah dipukul tadi ke dalam adunan krim keju dan coklat tadi. Gaul sehingga sebati.
  • Sesudah selesai lapisan kedua, tuangkan ia ke atas lapisan kerak Oreo tadi.
  • Sejukkan dalam masa 30 minit.

Lapisan ketiga: Krim keju indulgence

  • Masukkan 250g krim keju bersama 33g gula kastor dan 1 sudu kecil esen vanila. Pukul selama 3 minit.
  • Kemudian masukkan 125g krim putar dan gaul sehingga sebati.
  • Tuangkan ke atas lapisan kek keju coklat tadi.
  • Biarkan sejuk selama 30 minit.

Lapisan keempat: Coklat ganache

  • Dengan menggunakan kaedah double boil, masukkan 125g krim putar bersama 125g coklat gelap dan 1 sudu mentega.
  • Kacau di atas api yang perlahan sehingga cair dan tidak berketul.
  • Tutup api. Biarkan dalam 10 minit sebelum dituang ke atas lapisan indulgence tadi.

 

Bagi mendapatkan hasil kek yang terbaik, anda perlulah membiarkan Kek Keju Coklat Indulgence ini di dalam peti sejuk semalaman sebelum dimakan. Selamat mencuba!

Maybe you're interested :

Share

Video Popular