Tatkala dunia dilanda wabak berjangkit dan berbahaya seperti COVID-19, pihak pasukan perubatan tempatan merupakan antara golongan barisan hadapan yang ‘berjuang’ sehabis mungkin demi menyelamatkan orang awam.

Sungguh besar pengorbanan mereka terhadap kita semua, khasnya buat rakyat Malaysia. Di saat kita duduk di rumah, mereka bertungkus lumus bekerja tanpa mengira penat lelah untuk memastikan pesakit yang dijangkiti menerima rawatan sewajarnya.

Bagi mengenang jasa dan pengorbanan mereka, kami akan berkongsi beberapa foto para pasukan perubatan tempatan yang bertugas beserta dengan mesej yang mereka ingin sampaikan kepada seluruh rakyat Malaysia.

#1 Dr Anand Kamalanathan, pakar anesthesiologi dan pakar ICU dari Hospital Sungai Buloh

Anand Kamalanathan/Facebook

“Tempoh dua bulan ini agak meletihkan daripada segi fizikal dan mental, di mana ramai di antara kami mengalami kekurangan waktu tidur dan masa bersama keluarga. Saya gesa rakan-rakan di luar sana untuk jujur dengan gejala, sejarah perjalanan dan hubungan anda agar dapat mengurangkan berlakunya jangkitan”.

#2 Dr Suffian Sani, doktor di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1)

Suffian Sani/Facebook

“Duduk di rumah dan luangkan masa berkualiti dengan keluarga. Bataskan pergaulan dengan kenalan. Sentiasa jujur apabila mendapatkan rawatan. Patuhi tempoh kuarantin. Elakkan daripada membeli barangan dalam kuantiti yang banyak dan paling penting jangan sebarkan berita palsu”.

#3 Dr Chew Yuhhui

Chew Yuhhui/Facebook

“Seseorang telah berkongsi idea bernas untuk membuat sendiri perlindungan muka (menggunakan kepingan plastik pada fail). Semoga ia dapat membantu mereka yang kerap bertemu dengan pesakit”.

#4 Dr Logeishwary Bala, pegawai perubatan ETD di Hospital Umum Sarawak

Logeishwary Bala/Facebook

“Sarawak telah mencatatkan kematian tertinggi setakat ini. Ia agak menakutkan namun kami melakukan yang terbaik dan berusaha untuk mengurangkan kadar jangkitan. Seluruh kakitangan hospital berusaha keras untuk mengubah Hospital Umum Sawarak menjadi pusat COVID yang sesuai dan kerja berpasukan yang hebat. Kudos untuk itu!”

#5 Dr Lee Hoong, pegawai perubatan dari Hospital Kemaman, Terengganu

Lee Hoong/Facebook

“Hari ini (31 Mac) merupakan hari ketiga saya dikuarantin dan masih bimbang akan keputusan saringan saya. Saya kini dimasukkan ke hospital selepas mempunyai kontak langsung dengan pesakit COVID-19. Saya berasa kasihan melihat pasukan saya terpaksa bekerja lebih untuk menggantikan kakitangan yang sedang dikuarantin. Semoga keputusan saya negatif agar saya boleh sertai mereka semula”.

#6 Dr Zaiti Arhad, pakar Obstetrik & Ginekologi di Hospital Tuanku Fauziah, Perlis dan suami, Norfaisal Ghazali, ahli teknologi perubatan medik di Klinik Kesihatan Kuala Kangsar

Zaiti Arshad/Facebook

“Mari berjuang bersama-sama. Untuk kamu semua di luar sana, tolong #stayathome dan kita boleh memecahkan rantaian ini. Henti sebarkan berita kurang sahih di media sosial. Doakan kami warga KKM”.

#7 Dr Lim Shou Zhi, doktor di Nibong Tebal

Lim Shou Zhi/Facebook

“Sebagai pengamal perubatan, kami juga berisiko kerana merawat pesakit pada setiap hari. Kami akan lakukan yang terbaik bagi membantu mengurangkan beban untuk mereka yang tidak perlu ke hospital”.

#8 Pasukan medik dari Pusat Perubatan Universiti Malaya

Syuhada Khairul/Facebook

“Pusat kami merupakan antara hospital yang menangani pesakit COVID-19. Ada di antara kami yang sudah pun memulakan tugas berkaitan COVID-19 dan ramai lagi dijangka akan menyertainya. Jaga diri di mana sahaja anda berada. Gambar tanpa pakaian perlindungan sengaja dipilih agar ia menjadi inspirasi buat kami semua – semoga masa baik seperti ini akan muncul tidak lama lagi. InsyaAllah”.

Kepada semua pasukan perubatan, terima kasih atas segala penat lelah, keletihan fizikal dan mental yang dialami, selain kurang masa bersama keluarga ketika waktu yang suram dan mencabar ini. Hanya Tuhan sahaja yang mampu membalasnya. Semoga semuanya dilindungi.

 

 

 

 

 

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI KESIHATAN

Video Popular