Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang sebelum ini mengumumkan kenaikan harga siling bagi topeng muka daripada RM0.80 kepada RM2.00 sekeping dilaporkan mahu meneliti semula keputusan itu.

Menurut Astro Awani, keputusan akhir kerajaan yang berhasrat untuk menurunkan harga siling topeng muka akan diumumkan pada 23 Mac selepas mesyuarat KPDNHEP diadakan.

Gambar hiasan/Unsplash

“Harga siling untuk topeng muka RM2 adalah terlalu tinggi jadi Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) tidak bersetuju dan esok kita akan bermesyuarat supaya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melihat semula,” ulas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu sidang media pada 22 Mac (Ahad) di Putrajaya.

“Kita mahu ia diturunkan sehingga kepada paras yang ditetapkan peringkat awal, sepatutnya tiada isu kerana kerajaan sudah bersetuju hapuskan duti import untuk pembelian topeng muka,” katanya.

Dalam sidang media yang sama, beliau yang juga merupakan Menteri Pertahanan turut mengesahkan bahawa kerajaan akan membeli sebanyak 10 juta topeng muka daripada China dan kosnya akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia.

“Dari segi keutamaan adalah untuk petugas barisan hadapan (frontliner) petugas di hospital, polis tentera, rela dan sebagainya.

“Selebihnya akan diagihkan kepada kawasan dikenal pasti berisiko tinggi, jika ada lebih lagi, kerajaan akan tentukan dan akan diagihkan,” jelas beliau.

Gambar hiasan/Unsplash

Tambah beliau, kerajaan juga mungkin akan menambah lebih banyak pembelian topeng muka untuk memenuhi keperluan rakyat.

Terdahulu 20 Mac (Jumaat), Menteri KPDNHEP, Datuk Alexander Nanta Linggi menyatakan bahawa harga sekeping topeng muka akan dinaikkan kepada RM2.00 sekeping berikutan kos pembuatan yang tinggi.

@mykpdnhep?Twitter

Datuk Alexander juga menambah bahawa keputusan itu diambil bagi menggalakkan pengeluar tempatan untuk menghasilkan lebih banyak topeng muka untuk kegunaan tempatan berikutan eksport topeng muka telah disekat oleh kerajaan bermula 18 Mac lalu.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular