PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan satu kes kematian dari kes ke-152 pada 20 Mac 2020 dengan 130 kes positif baharu menjadikan jumlah keseluruhan terkini jangkitan positif COVID-19 di Malaysia meningkat kepada 1,030 kes.

Malaysia kini menjadi negara yang berada di kedudukan ketiga di Asia paling banyak mencatatkan kes jangkitan positif COVID-19 selepas China dan Korea Selatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dengan dukacita memaklumkan menerusi kenyataannya di laman Facebook KKM, CPRC Kebangsaan menerima satu laporan kematian COVID-19 iaitu kes ke-152 pada jam 6.27 petang, 20 Mac 2020.

Noor Hisham Abdullah/ Facebook

Kes ke-152 merupakan lelaki warganegara Malaysia berusia 58 tahun daripada kluster perhimpunan tabligh. Beliau telah dimasukkan ke Hospital Tawau, Sabah pada 9 Mac 2020 dengan mengalami simptom Severe Acute Respiratory Infection (SARI).

“Kes ke-152 telah diberi bantuan pernafasan dan dimasukkan ke ICU pada hari sama. Kesihatan beliau terus merosot dan telah disahkan meninggal dunia pada 20 Mac 2020, jam 6.27 petang,” katanya.

Dengan ini, jumlah keseluruhan kematian akibat COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 3 kes, dengan 2 daripadanya adalah daripada kluster perhimpunan tabligh. 

Sebelum itu dalam sidang media harian berasingan, Datuk Dr Noor Hisham memberitahu 48 daripada 130 kes terbaharu mempunyai kaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling.

Beliau turut mengumumkan, 26 pesakit kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Manakala, 12 pesakit telah sembuh sepenuhnya dan dibenarkan pulang, menjadikan kesemua 87 kes telah pulih dan dibenar discaj dari hospital setakat ini.

@KKMPutrajaya/Twitter

Dalam pada itu Datuk Dr Noor Hisham berkata, walaupun berada di dalam rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, orang ramai disarankan supaya kekal aktif, sama ada melalui senaman atau melakukan aktiviti fizikal lain.

Katanya, pada masa kini terdapat pelbagai senaman di rumah yang boleh dilakukan seperti senaman yang berbentuk kardio bagi yang mempunyai basikal senaman atau “treadmill”.

“Senaman yang menggunakan berat badan sendiri, seperti ‘push-up’, ‘squat’, ‘plank’, ‘burpee’ dan ‘lounge’ (yang menggunakan pelbagai otot tanpa memerlukan peralatan khusus), senaman ‘Tabata’ dan senaman ringan seperti yoga atau tai chi.

“Rakyat Malaysia juga boleh kekal aktif dengan melakukan pelbagai bentuk tarian dan mengambil peluang untuk melakukan ‘spring cleaning’ di dalam rumah,” katanya.

Kajian menunjukkan senaman dan aktiviti fizikal adalah penting untuk mengekalkan kesihatan mental dengan meningkatkan mood dan melegakan kebimbangan dan keresahan.

“Ia membantu mengasah minda, meningkatkan kekuatan otot dan kekuatan aerobik,” tambah beliau.

Kementerian Kesihatan Malaysia/Facebook

Datuk Dr Noor Hisham berkata, jika berasa tidak sihat, orang ramai boleh menghubungi “virtual health advisory” dan mengikuti sesi Webinar yang akan diadakan setiap hari bermula jam 9.00 pagi melalui pautan: http://www.doctoroncall.com.my/coronavirus.

Orang awam juga boleh menghubungi talian Pusat Respons dan Kesiapan Krisis Kebangsaan (CPRC), KKM.

Maklumat lanjut mengenai situasi terkini COVID-19 di Malaysia boleh juga didapati melalui saluran telegram CPRC Kementerian Kesihatan Malaysia.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular