Beribu-ribu jemaah tabligh dari seluruh Asia berhimpun di Sulawesi, Indonesia pada hari Rabu, 18 Mac walaupun kebimbangan bahawa perhimpunan Ijtima Dunia 2020 itu boleh menyebarkan pandemik COVID-19 dengan lebih meluas.

Hanya 2 minggu selepas kejadian serupa di Malaysia yang menyebabkan lebih daripada 500 jangkitan positif virus yang meragut nyawa itu.

Penganjur dan pegawai serantau mengatakan perhimpunan tabligh di negara ke-4 populasi paling ramai di dunia itu telah dimulakan, walaupun Ketua Polis Daerah mengatakan bahawa pihaknya telah membuat usaha terakhir memujuk penganjur untuk membatalkannya.

“Kami lebih takut kepada Tuhan,” kata salah seorang penganjur, Mustari Bahranuddin ketika ditanya mengenai risiko jemaah menyebarkan virus itu dalam perhimpunan tabligh yang diadakan di Gowa, Sulawesi Selatan.

“Kerana kita semua manusia, kita takut kepada penyakit, kematian. Tetapi terdapat sesuatu yang lebih daripada tubuh, iaitu jiwa kita,” katanya.

Menurut pegawai wilayah itu, Arifuddin Saeni, pihak penganjur menolak permintaan rasmi daripada pihak berkuasa untuk menangguhkan perhimpunan tersebut.

Dianggarkan seramai 8,695 jemaah telah berkumpul di Gowa, berdekatan bandar Makassar, dan jumlahnya akan bertambah serta akan menimbulkan kesulitan sekiranya langkah tegas tidak diambil oleh pihak berkuasa.

“Mereka akan datang dari Thailand, Arab, India dan Filipina,” kata Arifuddin.

Bagaimanapun, pihak penganjur dilaporkan telah membatalkan perhimpunan Ijtima Dunia 2020 Zon Asia pada 19 Mac 2020, atas desakan pelbagai pihak yang bimbang akan penularan pandemik itu.

Perhimpunan Ijtima Tabligh di Malaysia, yang diadakan pada 27 Februari hingga 1 Mac, telah menarik kehadiran 16,000 jemaah tabligh.

Kedua-dua perhimpunan di Indonesia dan Malaysia dianjurkan oleh anggota Tablighi Jama’at, pergerakan muslim evangelis yang mempromosikan dakwah.

Facebook

Kira-kira 60 peratus daripada 900 jangkitan positif COVID-19 di Malaysia telah dikesan melalui kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Brunei telah mengesahkan 50 jangkitan yang berkaitan dengannya, manakala Kemboja, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam juga melaporkan rakyat mereka telah dijangkiti dari perhimpunan itu.

Indonesia berada pada tahap 227 kes, dengan 19 kematian. Negara 260 juta penduduk itu telah menjalankan hanya 1,255 ujian pada hari Selasa.

Sebaliknya, Korea Selatan, dengan bilangan penduduk lebih kecil telah menjalankan lebih 15,000 ujian setiap hari.

Akaun media sosial digunakan untuk mempromosikan kedua-dua perhimpunan tabligh tersebut. Satu akaun Facebook memaparkan gambar ketua India Tablighi, Sheikh Maulana Ibrahim Dewla, meninggalkan Lapangan Terbang Kuala Lumpur pada hari Selasa untuk menghadiri perhimpunan tabligh di Indonesia.

Gambar dalam akaun Facebook, Aalmi Tablighi Shura Elders, menunjukkan jemaah mula mendirikan khemah-khemah besar di tapak yang disediakan, dan mereka telah tiba menghadiri perhimpunan itu sejauh dari negara-negara Teluk untuk menawarkan bantuan.

Bahan promosi untuk perhimpunan Ijtima Dunia 2020 Zon Asia di Indonesia menyebut, “Kehidupan di dunia ini hanya kecil, berbanding dengan kehidupan di akhirat.”

Mujurlah perhimpunan tersebut telah dibatalkan atau ditangguhkan kepada satu masa lain, pada pagi 19 Mac 2020 selepas pihak berkuasa Indonesia berjaya menasihati pihak penganjur agar tidak berdegil kerana ia boleh mengundang mudarat kesihatan kepada para jemaah dan orang ramai.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL

Video Popular