Musim wabak Covid-19 sehingga ke hari ini telah menjangkiti 900 individu dan menyebabkan 2 kematian. Lebih dahsyat lagi, pada Isnin lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengeluarkan perintah kawalan pergerakan di seluruh Malaysia bermula pada 18 Mac hingga 31 Mei ini. Tujuan arahan ini dilakukan adalah bagi menangani penyebaran wabak tersebut daripada terus mengancam keselamatan rakyat dan negara.

Sempena dengan arahan pelaksanaan itu, rakyat diarahkan untuk tinggal di rumah dan segala aktiviti yang melibatkan pengumpulan individu secara berjemaah hendaklah dihentikan buat sementara waktu. Bukan sahaja itu, para pekerja juga perlulah diberikan cuti sepanjang pelaksanaan perintah ini.

Namun begitu, ketika negara sedang dilanda musibah, masih ada segelintir individu yang mengambil kesempatan dengan berbohong kepada doktor semata-mata untuk mendapatkan MC atau sijil cuti sakit. Perkara ini dikongsikan sendiri oleh seorang doktor menerusi akaun Facebooknya.

Menurut Amirul Azhar, seorang pesakit tegar menipu pihak klinik dengan menyatakan bahawa dia mempunyai kontak rapat dengan salah seorang pesakit Covid-19. Pada awalnya, pesakit lelaki yang mengalami batuk ini telah datang ke klinik untuk melalui ujian saringan. Namun, dia memaklumkan kepada doktor bahawa dia tidak mempunyai sebarang sejarah perjalanan ke luar negara, tidak mengenali mana-mana pesakit Covid-19 dan tidak pernah menghadiri majlis tabligh.

“Awak tak ada kenal pesakit COVID-19 kan? Jadi awak jangan risau.” 

Tiba-tiba pesakit tersebut berkata, “Eh? Ada doktor, kawan saya positif COVID-19.”

Mendengar pengakuan daripada lelaki itu, semua orang menjadi panik. Jururawat kemudian segera meminta lelaki berkenaan untuk masuk ke bilik pengasingan sementara menghubungi Amirul Azhar yang bertugas untuk memeriksa pesakit di bilik ISO. Amirul segera mengenakan pakaian khas yang disebut sebagai personal protective equipment (PPE) sebagai persediaan untuk mengendalikan pesakit yang disyaki positif Covid-19 itu.

Rahman Roslan/Getty Images

Bagaimanapun, sebaik sahaja dia tiba, pesakit berkenaan sudah tiada. Setelah setengah jam menunggu, Amirul kemudiannya mengambil keputusan untuk menanggalkan seragam PPE itu.

“Tahu tak leceh nak pakai PPE itu. Nak tutup dari atas ke bawah. Setengah jam aku tunggu pesakit itu. Aku pun buka PPE dan maklumkan kepada MO Senior ada pesakit kontak positif COVID-19 lari. Kami kena cari juga budak ini. Kalau berjangkit, habis satu pekan ini kena. Hubungi penghulu kampung, suruh dia tolong cari pesakit ini dan suruh dia datang ke klinik. Kalau tak jumpa, memang akan buat laporan polis”.

Namun, sekitar lima minit sebelum tamatnya waktu operasi klinik, pesakit itu kembali bersama bapanya. Kehadiran pesakit itu menyebabkan Amirul terpaksa memakai semula PPE.

“Aku terpaksa pergi bersiap pakai balik semua PPE bagai. Memang dah overtime la. Pakai PPE pun paling laju 15 minit. Tahan je nafsu amarah aku di bilik ISO”.

Ketika ditanya ke mana lelaki itu menghilang, pesakit berkenaan memaklumkan bahawa dia telah pergi mengambil adiknya di sekolah. Penipuan lelaki ini menyebabkan Amirul semakin berang.

“Kawan memang positif ke? Dirawat di hospital mana? Memang kerja sama-sama ke?”.

Pertanyaan demi pertanyaan diajukan dan akhirnya, lelaki itu menyatakan niatnya yang sebenar iaitu hendak mendapatkan MC semata-mata. Menurut lelaki itu, dia ingin meminta MC bermula lusa kerana tidak mahu kembali bekerja di Kuala Lumpur secepat itu.

Pengakuan ini membuatkan Amirul memarahi lelaki berkenaan di hadapan bapanya. Disebabkan oleh sikapnya yang mementingkan diri sendiri, dia telah menyusahkan orang lain terutamanya doktor dan jururawat yang berada di klinik itu. Malah, tindakannya pula telah mengakibatkan pembaziran dua set PPE.

STR/AFP via Getty Images

“Masa itu pukul enam petang. Kali terakhir aku minum pukul 9 pagi. Tengah hari aku tak makan sebab sibuk periksa jemaah tabligh yang pergi ijtimak baru-baru ini. Penat, haus, panas, kau boleh buat main-main pula hal COVID-19 ini?!”.

Semoga kejadian ini menjadi iktibar buat kita semua. Jangan ingkar arahan kerajaan dan jangan melakukan sesuatu tindakan tanpa berfikir dua kali. Kasihanilah mereka-mereka yang sanggup mempertaruhkan nyawa dan masa demi merawat dan mencegah penyebaran Covid-19.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN

Video Popular