Berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan yang mula berkuatkuasa pada tengah malam rabu setelah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yaasin mengumumkannya pada malam Isnin, orang ramai terutamanya di ibu negara dilaporkan mula mencari jalan untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Menurut laporan Astro Awani, stesen pengangkutan awam terutamanya Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dilihat dibanjiri oleh orang ramai walaupun tindakan itu terang-terangan melawan tujuan utama penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan yang bertujuan untuk mengehadkan pergerakan orang ramai bagi menyekat penularan COVID-19.

@pittssuda/Twitter

Disebabkan oleh tindakan orang ramai yang mula panik dan berpusu-pusu mahu pulang ke kampung halaman seolah-olah musim perayaan, pada jam 8 malam hari Rabu, Perdana Menteri Malaysia sekali lagi memutuskan untuk membuat perutusan secara langsung kepada semua rakyat Malaysia untuk merayu agar semua orang kekal berada di kawasan asal masing-masing.

Menurut Tan Sri Muhyiddin dalam perutusan yang berdurasi kira-kira 13 minit itu, kawalan yang diimplentasikan ini tidak akan berjaya sekiranya orang ramai masih berdegil dan tetap mahu melanggar peraturan.

“Saya sebutkan perkara ini kerana semalam ramai yang balik ke kampung. Saya lihat lebuhraya sesak dengan kenderaan menuju ke arah utara, selatan dan timur. Stesen bas juga sesak dengan orang ramai yang ingin pulang ke kampung.

Berita RTM/YouTube

“Saya ingin merayu kepada saudara-saudari. Tolonglah. Stay put where you are (kekal berada di kawasan masing-masing). Yang ada di Kuala Lumpur, duduklah di Kuala Lumpur. Yang ada di Johor Bahru duduklah di Johor Bahru. Yang ada di Pulau Pinang, duduklah di Pulau Pinang.

“Kalau anda merancang untuk pulang ke kampung, batalkanlah dahulu niat itu. Saya minta tolong untuk tempoh dua minggu ini sahaja,” tegasnya.

@pittssuda/Twitter

Disamping itu, beliau juga memohon orang ramai untuk memahami tujuan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang boleh membantu untuk memutuskan rantaian jangkitan yang seterusnya boleh mengurangkan jumlah pesakit COVID-19.

Tambah Tan Sri Muhyiddin Yaasin lagi, sekiranya matlamat Perintah Kawalan Pergerakan tidak berjaya, maka tempoh perintah kawalan ini mungkin akan dilanjutkan bagi mengawal sepenuhnya wabak ini.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular