Saban hari, angka jangkitan COVID-19 makin bertambah diikuti juga dengan jumlah kematian di seluruh dunia. Sudah pasti ia membimbangkan masyarakat dunia kerana memberi ancaman terhadap aspek kesihatan masing-masing.

Seorang lelaki menerusi akaun @JasonYanowitz ada mendedahkan satu perkongsian menarik di Twitter yang dirasakan perlu diketahui oleh masyarakat dunia, khasnya buat kita di Malaysia. Menurutnya, perkongsian itu adalah berdasarkan kepada pengalaman rakyat Itali.

@JasonYanowitz/Twitter

Seluruh Itali kini sedang dikuarantin berikutan dengan penularan virus berkenaan. Keadaan dilaporkan kian memburuk tetapi apa yang lebih menyedihkan adalah apabila masyarakat dunia bertindak seolah-olah ia tidak akan berlaku kepada mereka.

Peringkat 1

Anda langsung tidak tahu akan kewujudan COVID-19 sehinggalah satu kes muncul di negara anda. Tetapi, masih tiada apa yang perlu dibimbangkan. Ia hanyalah selesema. Anda bukanlah warga emas jadi ia tidak akan mungkin berlaku pada anda.

“Saya selamat. Orang ramai yang melebih-lebih. Tiada keperluan pun untuk gunakan penutup mulut dan hidung serta beli banyak tisu tandas. Saya akan jalani kehidupan seperti biasa. Tiada apa yang perlu ditakutkan”.

YouTube

Peringkat 2

Jumlah kes sudah mula diberi perhatian. Mereka umumkan ‘zon merah’ dan kuarantin terhadap satu atau dua buah bandar kecil – lokasi kes pertama dan jangkitan seterusnya pada 22 Februari. Ia menyedihkan dan sedikit membimbangkan namun pihak berkuasa sedang mengawalnya, jadi tidak perlu panik.

Terdapat beberapa kematian tetapi semuanya melibatkan warga emas. Pihak media dianggap ‘mencipta’ panik untuk kaut untung. Orang ramai juga teruskan kehidupan seperti biasa.

“Saya tidak akan berhenti keluar daripada rumah untuk berjumpa dengan rakan. Ia tidak akan berlaku. Semua di sini berada dalam keadaan baik”.

YouTube

Peringkat 3

Jumlah kes meningkat dengan mendadak sehingga dua kali ganda dalam sehari, begitu juga kematian. Kuarantin diperluaskan sehingga 4 wilayah pada 7 Mac. Sebanyak 25% penduduk Itali dikuarantin.

Sekolah dan universiti di kawasan tersebut telah ditutup tetapi bar, tempat kerja, restoran dan sebagainya masih lagi beroperasi.

10,000 orang yang diletakkan dalam kategori zon merah pula pulang ke pangkuan keluarga di rumah di seluruh Itali. 75% daripada penduduk Itali selebihnya masih melakukan rutin harian tanpa langsung mengetahui betapa seriusnya situasi tersebut.

Nasihat untuk membasuh tangan dan mengurangkan aktiviti di luar rumah dan larangan berjumpa dengan orang lain dalam saiz yang besar disiarkan setiap lima minit pada kaca televisyen namun ia tidak diambil berat.

YouTube

Peringkat 4

Bilangan kes meningkat dengan ketara. Sekolah dan universiti di rata-rata tempat telah ditutup sekurang-kurangnya sebulan. Kecemasan kesihatan kebangsaan diumumkan. Hospital mempunyai kapasiti, seluruh unit dibersihkan untuk memberi ruang kepada pesakit COVID-19.

Bilangan doktor dan jururawat tidak mencukupi sehingga pesara dalam bidang perubatan serta pelajar dua tahun akhir dalam bidang berkenaan dipanggil untuk membantu. Tiada syif kerja, semuanya kerja selama mana mereka mampu. Sudah tentu para doktor dan jururawat turut dijangkiti lalu menyebarkannya kepada keluarga.

Terdapat banyak kes pneumonia, terdapat banyak pesakit yang perlu ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) namun tiada ruang yang cukup untuk semua. Maka doktor terpaksa memilih untuk merawat pesakit berdasarkan peluang hidup masing-masing.

Ini bermakna, pesakit kronik dan juga golongan berusia tidak dapat dirawat kerana pesakit dengan COVID-19 menjadi keutamaan. Tiada sumber yang cukup untuk semua jadi ianya perlu diedarkan sebegitu untuk hasil terbaik.

Ramai pesakit yang meninggal dunia ekoran kekurangan ruang di hospital. Seorang doktor memberitahu bahawa beliau terpaksa membiarkan 3 orang meninggal dunia. Jururawat pula menangis kerana mereka tidak mampu melakukan apa-apa selain memberikan bantuan oksigen pada pesakit. Sistem lumpuh.

YouTube

Peringkat 5

Masih ingat tentang 10,000 orang yang melarikan diri daripada zon merah di seluruh Itali? Ia telah menyebabkan keseluruhan Itali dikuarantin pada 9 Mac. Ia bertujuan untuk melambatkan proses penyebaran virus tersebut sebanyak mungkin.

Orang ramai masih boleh ke tempat kerja, membeli barangan keperluan, ke farmasi, sementara semua perniagaan masih lagi beroperasi. Jika tidak, ekonomi negara akan lumpuh. Penduduk pula tidak boleh bergerak ke satu tempat lain kecuali atas sebab yang dibenarkan.

Orang ramai mula dilihat memakai penutup mulut dan hidung ketika keluar namun masih terdapat segelintir individu yang merasakan diri mereka ‘kebal’ apabila pergi ke restoran beramai-ramai, lepak minum bersama rakan dan sebagainya.

YouTube

Peringkat 6

Dua hari kemudian, pengumuman tentang penutupan kesemua premis perniagaan diumumkan termasuklah bar, restoran, pusat beli belah dan sebagainya kecuali pasaraya dan juga farmasi. Individu hanya dibenarkan keluar jika mempunyai sijil kebenaran.

Sijil tersebut merupakan dokumen rasmi, di mana seseorang perlu mengisytiharkan nama, lokasi asal, destinasi yang dituju beserta dengan sebab. Banyak pusat pemeriksaan polis dibina. Sekiranya dijumpai di luar tanpa alasan yang sah, seseorang itu akan denda sehingga €206 (RM989).

Jika seseorang itu didapati positif dengan COVID-19, maka mereka akan berhadapan dengan penjara antara 1-12 tahun atas dakwaan membunuh.

Begitulah serba sedikit keadaan di Itali setakat 12 Mac. Harus diingatkan bahawa semua itu berlaku hanya dalam tempoh 2 minggu sahaja. Sementara negara seperti Iran dan Korea mungkin berada pada mana-mana peringkat yang dinyatakan.

Anda tidak tahu apa yang bakal berlaku sekiranya meneruskan sikap sambil lewa sebegini. Cukup menyedihkan apabila penduduk negara-negara lain menganggap seolah-olah keadaan ini tidak akan berlaku pada diri mereka.

“Sekiranya lokasi anda sudah terdapat kes dan virus itu sedang disebarkan, anda mungkin berada 1-2 minggu di belakang kami. Namun anda pasti akan tiba ke peringkat terakhir. Oleh itu, sila ambil langkah berjaga-jaga”, tulis tweet tersebut.

Ambil pengajaran terhadap apa yang terjadi di Itali dan jangan bertindak seperti itu. jika tiada sebarang keperluan, sila kekal berada di dalam rumah dan patuhi arahan pihak berkuasa. Ia mungkin sukar untuk dilakukan namun itulah perkara terbaik untuk semua.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Eropah GLOBAL KESIHATAN

Video Popular