PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan terdapat 110 kes positif COVID-19 baharu telah dikesan setakat 19 Mac 2020 menjadikan jumlah terkini meningkat kepada 900 kes.

Dengan ini, buat lima hari berturut-turut peningkatan tiga angka dalam kes COVID-19 telah dilaporkan membawa jumlah kumulatif kepada 900 kes. Pada 18 Mac, sejumlah 117 kes baharu positif COVID-19 telah direkodkan dengan jumlah keseluruhan 790 kes.

Dalam sidang media harian KKM, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, daripada 110 kes baharu yang diumumkan, 63 kes dikaitkan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling.

Kementerian Kesihatan Malaysia/ Facebook

Perhimpunan agama itu dilaporkan telah dihadiri oleh lebih daripada 14,500 jemaah rakyat Malaysia.

Dengan jumlah positf baharu yang dilaporkan pada 19 Mac, jumlah kes COVID-19 yang disahkan menjangkiti rakyat Malaysia dari kluster perhimpunan tabligh itu kini telah mencapai 576 kes

Daripada 14,500 jemaah dari Malaysia yang menghadiri perhimpunan tabligh tersebut, terdapat 4,000 jemaah yang belum lagi tampil untuk membuat pemeriksaan saringan dan melaporkan diri mereka di pejabat kesihatan daerah atau negeri masing-masing.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri berkata dalam kenyataan media, “Saya faham terdapat kebimbangan mengenai kumpulan tabligh ini kerana mereka enggan tampil dan masih tidak dapat dikesan, kira-kira 4,000 orang masih tidak dapat dikesan.” 

“Pihak polis telah membuat keputusan untuk menjejaki mereka sendiri,” katanya.

Sementara itu dalam sidang media harian COVID-19, Datuk Seri Dr Adham turut memaklumkan terdapat peningkatan kes 20 pesakit yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.

Kementerian Kesihatan Malaysia/Facebook

Di samping itu, 15 kes positif COVID-19 telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj dari wad, menjadikan jumlah terkini mereka yang telah sembuh dan discaj dari hospital kepada 75 kes.

Datuk Seri Dr Adham mengingatkan orang ramai di dalam sidang media itu bahawa Perintah Kawalan Pergerakan telah dilaksanakan mulai 18 Mac sehingga 31 Mac 2020, yang antara lain membabitkan larangan menyeluruh pergerakan bagi membendung penularan wabak jangkitan COVID-19 di Malaysia dan semua dinasihatkan supaya akur untuk duduk di rumah.

Katanya, harapan kerajaan dengan mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan ialah ingin memutuskan rangkaian penularan COVID-19 kerana ini adalah kaedah terbaik berbanding merawat.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular