Ketika pandemik COVID-19 kian menular di Malaysia sehingga kerajaan terpaksa mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan, rakyat perlu akur untuk mematuhi peraturan dalam mengehadkan pergerakan bersosial dan menjaga jarak antara satu sama lain.

Kerajaan membenarkan sektor peruncitan dan bekalan makanan beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, namun sekiranya anda tidak mahu keluar membeli barangan keperluan penting seperti makanan dan barangan dapur, perkhidmatan pembelian barangan secara dalam talian merupakan alternatif yang bersesuaian.

Sebagai panduan, di bawah adalah 8 aplikasi yang menawarkan perkhidmatan pembelian barangan dapur secara dalam talian atau ‘online’ yang terdapat di Malaysia yang mampu memberi kemudahan kepada anda sepanjang tempoh ini dilaksanakan selama 14 hari bermula 18 Mac.

#1.TESCO ONLINE

Google Play Store/Paparan Skrin

Perkhidmatan Tesco Online memudahkan pelanggan membeli barangan segar seperti sayur, ikan, ayam, roti, rempah ratus dan lain-lain barangan, sama seperti membeli-belah barangan runcit dan dapur di Tesco sendiri.

Tesco Online meliputi kawasan Lembah Klang, Johor Bahru, Penang, Seremban, Ipoh dan Melaka. Kita boleh memilih slot penghantaran bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam. Kalau slot itu sudah penuh, kita perlu menunggu masa lebih lama asalkan diri mampu bersabar.

Caj penghantaran bergantung kepada kawasan rumah dan caj servis dikenakan bergantung kepada waktu slot penghantaran yang dipilih.

Biasanya jika kita memilih waktu yang bukan waktu puncak atau sibuk, caj yang akan dikenakan adalah lebih rendah.

#2. HAPPY FRESH

Google Play Store/Paparan Skrin

HappyFresh boleh membantu anda membelikan barangan runcit di Cold Storage, Tesco atau Giant. Muat turun aplikasi HappyFresh melalui Appstore atau Google Play Store.

Anda juga boleh membayar dengan tunai jika tiada kad debit atau kredit.

HappyFresh adalah syarikat penghantaran barangan runcit dalam talian yang turut beroperasi di bandar-bandar utama di Asia Tenggara iaitu Indonesia, Malaysia dan Thailand.

Jika mahu melihat promosi dan kemas kini terkini, anda boleh ikuti laman Facebook Happy Fresh Malaysia.

#3. JAYA GROCER

Google Play Store/Paparan Skrin

Pengguna di kawasan Lembah Klang boleh menggunakan aplikasi Jaya Grocer untuk  membeli-belah pelbagai sayur-sayuran organik.

Selain daripada buah-buahan dan sayur-sayuran bermusim tempatan, Jaya Grocer terkenal dengan buah-buahan luar negara yang mungkin sukar didapati di pasaraya biasa seperti aprikot, blueberi, strawberi dan raspberi.

Anda juga boleh mendapatkan ikan tempatan, daging import sejuk beku dari Australia, serta makanan organik dan bebas gluten bagi mereka yang menitik beratkan soal penjagaan kesihatan.

#4. BUNGKUSIT

Google Play Store/Paparan Skrin

Bungkusit adalah perkhidmatan yang bukan sahaja boleh membelikan kita barangan dapur atau barang basah, tetapi juga boleh membungkuskan makanan yang kita inginkan dari kedai makan, warung, gerai atau mana-mana restoran kegemaran tetapi ia perlu berada dalam kawasan liputan.

Pelanggan juga boleh meminta mereka menghantar atau mengambil barangan.

Bungkusit kini telah meluaskan perkhidmatan mereka di Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Pulau Pinang, Melaka dan Negeri Sembilan.

#5. RED TICK

Redtick/Facebook

Memulakan operasi sejak tahun 2010, RedTick merupakan antara servis penghantaran makanan yang boleh dipercayai dan mula digunakan oleh ramai pengguna di sekitar Lembah Klang.

Bagi yang berada di luar kawasan Lembah Klang, anda boleh mendapatkan pelbagai pilihan makanan kering, barangan kesihatan dan kecantikan yang boleh dibeli dengan macam-macam promosi mingguan serta bulanan melalui laman sesawang RedTick Plus.

#6. MY GROSER

MyGroser/Facebook

MyGroser adalah kedai runcit dalam talian yang membuat penghantaran di seluruh Lembah Klang, Petaling Jaya, Subang Jaya, USJ, Kuala Lumpur, Shah Alam, Damansara, Bangsar, Mont Kiara, Puchong, Bandar Utama, Tropicana, Ampang dan banyak lagi.

Mendapat rating 4.7/5 di Google Play Store, rata-rata ramai pengguna sangat berpuas hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan oleh My Groser.

Muat turun aplikasi ini dan masukkan alamat anda untuk melihat sama ada mereka membuat penghantaran ke kawasan rumah atau kawasan perniagaan anda.

#7. GROSER HELPER

Grocer Helper MY/Facebook

Bagi pengguna di Johor Bahru, anda boleh gunakan perkhidmatan Grocer Helper untuk membeli barang basah seperti ikan, ayam serta daging segar yang sudah siap dipotong, basuh dan dibungkus dengan baik.

Hanya perlu memasukkannya ke dalam peti sejuk beku selepas itu. Harga bermula dari RM50 dan untuk simpanan stok seminggu memang amat berbaloi.

#8. MUTIARA BERSATU BARANG BASAH DELIVERY

Mutiara Bersatu Barang Dapur Basah Delivery/Facebook

Bagi pengguna sekitar Pulau Pinang pula, anda boleh mendapatkan banyak pilihan pembelian barang basah dengan Mutiara Bersatu Barang Basah Delivery.

Seperti mana kita pergi ke pasar basah, terdapat pilihan makanan laut seperti ketam, sotong, ikan, udang, kerang juga sayur-sayuran.

Memang segar lagi mudah dan penghantaran juga cepat serta dijamin bersih dan halal!

Semoga perkhidmatan ini dapat memberi pilihan kepada anda bagi memudahkan urusan membeli-belah dari rumah sepanjang berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini dilaksanakan. Jaga diri semua!

Maybe you're interested :

Share

Video Popular