Perkhidmatan penghantaran makanan, foodpanda akan melaksanakan penghantaran tanpa sentuh atau ‘contactless delivery’ sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac 2020.

Langkah tersebut diambil bagi mengurangkan risiko dan interaksi sesama manusia.

Ia juga bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pelanggan apabila menggunakan perkhidmatan mereka.

Langkah pertama, pelanggan perlu membuat bayaran untuk pesanan secara dalam talian.

foodpanda

Pelanggan kemudiannya boleh memaklumkan kepada penunggang bahawa mereka memilih penghantaran tanpa sentuh dalam proses pemesanan makanan.

Oleh itu, makanan akan ditempatkan di lokasi ‘drop off’ dan pelanggan akan diberitahu bahawa makanan mereka telah sampai.

Penunggang juga harus mengekalkan jarak sejauh 1 meter dari pelanggan dan pelanggan harus mengesahkan menerima pesanan yang dihantar.

Pengarah Urusan foodpanda Malaysia, Sayantan Das, berkata foodpanda juga menyediakan cecair pembasmi kuman tangan dan topeng muka secara percuma di hab penunggang.

“Semua penunggang juga diarahkan untuk mencuci tangan setiap dua jam dan setiap kali mereka selesai membuat satu penghantaran,” katanya menerusi satu kenyataan.

Platform penghantaran makanan itu turut menyatakan komitmen mereka dalam menyokong semua penunggang, rakan restoran dalam berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang akan berlanjutan sehingga 31 Mac ini.

Instagram/ Gambar Hiasan

Selain foodpanda, Grab juga mengumumkan bahawa ia akan beroperasi seperti biasa untuk tempoh dua minggu perintah itu dilaksanakan.

Sebelum ini, Grab di Filipina sudah melaksanakan polisi penghantaran tanpa sentuh susulan penularan wabak COVID-19. 

Pada 16 Mac, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru rakyat Malaysia agar tidak panik dan sentiasa bertenang serta mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang akan dilaksanakan bermula 18 Mac hingga 31 Mac 2020.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: BISNES

Video Popular