PUTRAJAYA – Malaysia mencatat dua kematian pertama akibat pandemik COVID-19, iaitu pesakit dari kes ke-178 dan kes ke-358, demikian disahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada 17 Mac 2020.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dengan dukacita memaklumkan dalam sidang harian COVID-19 di Putrajaya, bagi kes ke-178 ialah seorang lelaki warga Malaysia yang menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling.
Kementerian Kesihatan Malaysia/Facebook
Bagi kes ke-358 pula ialah seorang lelaki warga tempatan, seorang pastor berusia 60 tahun dari Kuching, Sarawak.
Kes ke-178 yang berusia 34 tahun mula mengalami gejala mulai 5 Mac dan mendapat rawatan di Hospital Permai, Johor Bahru pada 12 Mac setelah dikesan positif COVID-19.
“Keadaan beliau merosot dan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), beliau disahkan meninggal dunia hari ini,” katanya.
Datuk Seri Dr Adham berkata, kes ke-358 adalah lelaki yang mempunyai sejarah penyakit kronik. Beliau mula mengalami gejala demam, batuk dan kesukaran bernafas pada 7 Mac dan mendapat rawatan di Hospital Umum Sarawak pada 14 Mac setelah dikesan positif COVID-19.
“Keadaan beliau merosot dan telah dimasukkan ke ICU. Beliau disahkan meninggal dunia hari ini, ” katanya.
Kementerian Kesihatan Malaysia/Facebook
Datuk Seri Dr Adham juga turut mengumumkan 120 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 terkini di Malaysia pada 17 Mac 2020 meningkat kepada 673 kes.
95 daripada kes baharu berkait dengan kluster perhimpunan di Masjid Jamek Sri Petaling.
Beliau turut mengumumkan 7 pesakit telah sembuh sepenuhnya dan dibenar keluar dari wad, menjadikan jumlah keseluruhan pesakit pulih dan dibenar discaj dari hospital kepada 49 orang.
Maybe you're interested :