Tatkala masing-masing sibuk melakukan aktiviti dan tidak begitu mengambil berat akan saranan pihak berkuasa untuk mengasingkan diri di rumah, ketahuilah bahawa ianya memberi kesan kepada pasukan perubatan.

Umum sedia maklum akan peningkatan kes individu yang dijangkiti dengan wabak COVID-19 baru-baru ini berkait rapat dengan mereka yang menyertai himpunan tabligh di Seri Petaling.

Sehingga 16 Mac, kes kumulatif merekodkan sejumlah 553 pesakit yang positif dengan virus berkenaan, di mana 12 daripadanya sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Seorang kakitangan perubatan menerusi akaun Facebook, Nasrul Naeem yang bertugas di Hospital Kuala Lumpur telah berkongsi situasi sebenar di hospital yang mungkin tidak diketahui oleh orang ramai.

Menurutnya, setakat 16 Mac, seramai tiga orang pesakit yang telah menjalani proses intubasi atau ‘intubation’ – satu proses memasukkan tiub endotrakeal (ET) melalui mulut ke saluran udara. Proses ini dilakukan agar pesakit boleh menggunakan ventilator untuk membantunya bernafas.

Nasrul Naeem/Facebook

Kes intubasi pertama telah pun dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh dan ianya perlu dilakukan dengan penuh teliti, memandangkan pemindahan kes wabak sebegini memerlukan pengangkutan dengan perlindungan penuh.

Kakitangan perubatan di sana juga menurutnya telah bekerja keras selama 48 jam tanpa henti, sementara General Intensive Care Unit (GICU) di hospital berkenaan juga difahamkan sudah mula direnovasi.

Nasrul Naeem/Facebook

Ini berikutan dengan kes COVID-19 yang makin bertambah dan menurutnya, adalah tidak mustahil untuk pesakit COVID-19 yang perlu menjalani proses intubasi kian meningkat di sana.

Nasrul turut menyentuh akan kepentingan peralatan perlindungan, lebih-lebih lagi buat mereka yang mempunyai anak yang masih kecil. Beliau turut menasihati agar orang ramai untuk mengelakkan daripada datang ke hospital jika tiada keperluan.

Nasrul Naeem/Facebook

Selain itu, elakkan berada di tempat tumpuan awam seperti di pusat beli belah dan sebagainya. Beliau turut menyarankan agar orang ramai kerap minum air, mencuci tangan dan jangan lupa untuk memakai penutup mulut dan hidung.

Sama-sama kita doakan agar kesemua kakitangan perubatan negara dilindungi daripada jangkitan wabak ini. Pengorbanan dan jasa mereka demi menjaga kesihatan awam sangat dihargai. Terima kasih!

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular