Kini, semakin ramai orang berminat dengan tumbuhan di dalam rumah dan menjaga pelbagai jenis tumbuhan di dalam rumah masing-masing.

Tumbuhan di dalam rumah terkenal dengan kemampuannya sebagai pembersih udara selain menyediakan persekitaran yang indah untuk rumah.

Walau bagaimanapun, kita juga perlu tahu bahawa beberapa jenis tumbuhan yang lazimnya diletakkan di dalam rumah juga boleh memberi kesan buruk terutamanya kepada kanak-kanak, orang tua dengan dementia dan juga haiwan peliharaan.

Gambar hiasan. Kredit: Unsplash

Menurut Dengarden, kebanyakan kedai jualan tumbuhan tidak menyediakan label amaran pada tumbuhan pasu yang memberi peringatan tentang risiko keracunan, jadi pastikan anda TIDAK menyimpan 10 jenis tumbuhan ini di tempat yang mudah untuk dicapai oleh kanak-kanak atau haiwan peliharaan.

1. Philodendron

Gambar hiasan/Dengarden

Tumbuhan ini mengandungi kristal kalsium oksalat yang merupakan toksik kepada manusia dan haiwan, jadi letakkan tumbuhan jenis ini di atas rak yang tinggi atau almari.

Manusia: Boleh memberi kesan sampingan yang ringan pada manusia dan kanak-kanak termasuk reaksi dermatitis dan bengkak pada mulut dan saluran pencernaan. Dalam kes-kes yang jarang berlaku, terdapat kematian dalam kalangan kanak-kanak selepas memakan daun tumbuhan ini dalam kuantiti yang banyak.

Kucing dan anjing: Boleh memberi kesan yang lebih serius terhadap haiwan seperti sawan, kejang, kesakitan, dan bengkak. Tumbuhan ini juga dipercayai lebih toksik kepada kucing.

2. Pothos

Gambar hiasan/Flickr

Dianggap sebagai salah satu tumbuhan yang terbaik untuk menapis kotoran dari udara, namun tumbuhan ini agak berbahaya dalam kuantiti yang kecil tetapi juga boleh menghasilkan kesan sampingan yang serius.

Manusia: Boleh menyebabkan rasa terbakar dalam mulut, kerengsaan kulit, bengkak bibir, lidah, dan tekak, muntah-muntah dan cirit-birit.

Kucing dan anjing: Lelehan air liur, tercekik, bengkak mulut dan lidah, kesukaran bernafas, dan sakit perut. Tumbuhan ini juga boleh membawa kepada kegagalan buah pinggang dan kematian.

3. Arrowhead

Gambar hiasan/Wikimedia

Tumbuhan ini mudah dijaga dan mempunyai dedaun yang cantik, tetapi malangnya tumbuhan ini juga boleh mendatangkan bahaya kepada manusia dan haiwan.

Manusia dan haiwan peliharaan: kerengsaan kulit, sakit perut, muntah

4. Bunga lily

Gambar hiasan/Pixabay

Tidak semua bunga lily adalah beracun tetapi ada antaranya yang lebih toksik kepada haiwan, dan kucing lebih mudah terdedah kepada keracunan bunga lily berbanding anjing. Spesies bunga lily yang berbeza juga menghasilkan gejala yang berbeza kepada haiwan dan manusia. Jenis bunga lily yang beracun termasuklah:

  1. Easter Lily
  2. Rubrum Lily
  3. Tiger Lily
  4. Day Lily
  5. Asian Lily
  6. Calla Lily (boleh membawa maut kepada kanak-kanak)

Manusia: Sakit perut, muntah, sakit kepala, penglihatan kabur, dan kerengsaan kulit.

Kucing: Semua bahagian tumbuhan ini dianggap toksik kepada mereka. Tanda-tandanya termasuklah muntah-muntah, kelesuan, dan kurang selera makan. Kegagalan buah pinggang dan hati boleh berlaku dan mengakibatkan kematian jika tidak dirawat.

5. Peace Lily

Gambar hiasan/Pixabay

Bunga lily jenis ini bukanlah tumbuhan lily yang sebenar kerana peace lily tidak tergolong dalam keluarga Liliaceae. Bunga ini adalah pembersih udara yang sangat baik tetapi boleh menyebabkan gejala yang menyakitkan dan kadang-kadang kematian jika dimakan oleh manusia atau haiwan.

Manusia: Rasa panas dan bengkak bibir, mulut, dan lidah, kesukaran untuk bercakap atau menelan, muntah, loya, dan cirit-birit.

Kucing dan anjing: Terdapat maklumat yang bertentangan mengenai ketoksikan bunga ini, tetapi kebanyakannya disenaraikan sebagai toksik kepada anjing dan menyebabkan kerengsaan pada mulut kucing, air liur yang berlebihan, cirit-birit, kurang air, kurang nafsu makan, dan muntah-muntah. Boleh juga menyebabkan kegagalan buah pinggang jika tidak dirawat.

6. Dieffenbachia

Gambar hiasan/Wikimedia

Tumbuhan ini mengandungi kristal oksalat yang sama seperti Philodendron. Tumbuhan jenis ini cenderung untuk ditelan kerana tumbuhan ini lazimnya diletakkan di dalam pasu di atas lantai.

Manusia dan haiwan peliharaan: Kesakitan yang melampau di mulut, air liur, rasa terbakar, bengkak dan sakit tekak.

7. Oleander

Gambar hiasan/Needpix

Tumbuhan ini sangat toksik sehinggakan madu lebah yang dihasilkan dari tumbuhan jenis ini pun akan menerima kesan. Kanak-kanak perlu dijauhkan dari tumbuhan ini kerana kematian ada dilaporkan selepas insiden menelan sejumlah besar tumbuhan ini berlaku.

Manusia: Degupan jantung yang tidak normal, pening, dan menggigil.

Kucing dan Anjing: Degupan jantung yang tidak normal, muntah, dan kesejukan.

8. Caladium

Gambar hiasan/Wikimedia

Tumbuhan ini terkenal sebagai hiasan untuk landskap luar tetapi semua bahagiannya dianggap toksik kepada manusia dan haiwan.

Manusia: Gejala selepas pengambilan adalah rasa terbakar yang perit dan bengkak pada mulut, lidah, bibir, dan tekak, kesukaran bernafas, bercakap, dan menelan, dan mungkin saluran udara yang tersekat sehingga boleh mengakibatkan kematian.

Kucing dan anjing: Mual, muntah-muntah, gegaran kepala, lelehan air liur, dan kesukaran bernafas.

9. Snake Plant

Gambar hiasan/Wikimedia

Tumbuhan ini mempunyai tahap ketoksikan yang rendah tetapi boleh menghasilkan gejala yang berpanjangan.

Manusia: sakit mulut, air liur berlebihan, dan rasa loya. Tumbuhan ini juga boleh menghasilkan tindak balas dermatologi dalam kes-kes yang jarang berlaku tetapi kebanyakannya hanya toksik jika tertelan.

Kucing dan anjing: Menyebabkan air liur yang berlebihan, sakit, loya, muntah dan cirit-birit.

10. Ivy

Gambar hiasan/Publicdomainpictures

Tumbuhan ini dapat menghapuskan zarah-zarah halus dalam udara, oleh itu tumbuhan jenis ini sesuai untuk diletakkan di dalam rumah dengan haiwan kesayangan. Walau bagaimanapun, tumbuhan ini juga menyebabkan kesan buruk jika ditelan.

Manusia: Boleh menyebabkan kerengsaan kulit yang teruk dan rasa terbakar di dalam mulut dan tekak, sawan, demam, dan ruam. Tetapi, gejala-gejala hanya akan menjadi teruk jika kuantiti yang ditelan adalah banyak.

Kucing dan anjing: Cirit-birit, hiperaktif, kesukaran bernafas, lemah, menggigil dan muntah-muntah.

Jadi, itulah 10 jenis tumbuhan yang berisiko jika diletakkan di dalam rumah dalam lingkungan mudah dicapai oleh kanak-kanak ataupun haiwan peliharaan.

Gambar hiasan/Unsplash

Bagaimanapun, jika anda tetap juga memutuskan untuk menjaganya di dalam rumah untuk apa-apa tujuan sekalipun, cuba lakukan 9 tip ini bagi mengurangkan pendedahan kepada toksin tumbuhan:

1. Tempatkan tumbuhan berisiko dari jangkauan atau di bilik di mana kanak-kanak dan haiwan peliharaan tidak dibenarkan masuk.

2. Pakai sarung tangan semasa mengendalikan atau basuh tangan dengan segera selepas mengendalikan tumbuh-tumbuhan yang boleh merengsakan kulit atau mata.

3. Jangan buang bahagian tumbuhan di tempat yang boleh dicapai dengan mudah.

4. Label pasu dengan nama tumbuhan dan sama ada tumbuhan itu adalah bertoksik atau tidak.

5. Rapikan bahagian akar untuk menghalang kanak-kanak dan binatang peliharaan daripada menyentuhnya.

6. Ajar kanak-kanak supaya tidak menyentuh tumbuh-tumbuhan.

7. Sentiasa berikan air yang segar untuk haiwan kesayangan anda supaya mereka tidak tergoda untuk minum dari dulang tumbuhan kerana toksin boleh terserap di dalam air.

8. Gunakan alat pengairan tumbuhan automatik untuk melindungi tumbuhan dari kulat, dan haiwan dari air bertoksik.

9. Gunakan sangkar burung bergantung untuk meletak pasu supaya kanak-kanak dan haiwan peliharaan tidak boleh mencapai tumbuhan.

Pastikan anda mengikuti tip keselamatan ini dan mengelakkan bahaya yang tidak diingini untuk anak-anak dan haiwan peliharaan anda!

Maybe you're interested :

Share

Video Popular