Setiap orang pastinya punya hati nurani dan moral yang baik, ada yang cuba untuk menyelesaikan masalah orang lain dan ada yang suka menghulurkan tangan untuk membantu tanpa terfikir untuk mendapatkan sebarang ganjaran atau balasan.

Namun, bukan hanya manusia sahaja yang suka membantu malah haiwan juga tidak teragak-agak untuk menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan.

Mungkin itulah yang difikirkan oleh seekor anjing yang sangat berani ini, kisah penuh inspirasi ini berlaku pada 20 Oktober 2014.

Apa yang berlaku ketika itu ialah sebuah syarikat industri pertahanan di Ukraine telah mengalami letupan yang sangat besar sehingga menyebabkan kebakaran besar berlaku di dalam dan luar bangunan. Api marak dengan pantas sehingga menyebabkan asap tebal naik ke awan dan bergerak sehingga ke timur laut bandar Donetsk.

Gambar Hiasan/Pixabay

Ledakan itu begitu kuat sehingga dapat dirasakan walaupun berada jauh beberapa kilometer dari kawasan kejadian. Insiden tersebut telah menyebabkan tingkap hancur berkecai dan turut melibatkan beberapa buah rumah di sekitar.

Penduduk sekitar mulai panik, mereka mula mengosongkan rumah dan membawa barang-barang penting yang sempat dicapai. Ramai juga melepaskan haiwan peliharaan mereka ke jalanan supaya haiwan-haiwan itu tidak terkorban.

Namun, apabila seorang pemilik haiwan melepaskan anjingnya sebuah kejadian yang tidak disangka telah berlaku.  Apa yang berlaku ialah anjing tersebut masuk semula ke dalam rumah. Memandangkan api semakin marak membakar rumah, pemilik anjing tersebut tidak dapat melakukan apa-apa melainkan hanya melihat apa yang dilakukan anjingnya.

Gambar Hiasan/Pixabay

Semasa dia melihat rumahnya terbakar dia masih berharap agar anjingnya selamat walaupun telah berlari masuk ke dalam rumah. Siapa sangka, dia kemudian ternampak kelibat anjingnya dan di mulutnya ada seekor anak kucing tempang yang juga merupakan haiwan kesayangan keluarganya.

Anjing dan anak kucing itu berkawan baik. Mereka banyak menghabiskan masa bermain bersama, sentiasa menemani antara satu sama lain. Jadi, apabila berlakunya kebakaran perkara pertama yang muncul di fikiran anjing ini ialah rakan baiknya dan bagaimana untuk menyelamatkan anak kucing itu.

Melihat apa yang berlaku membuatkan pemilik anjing itu berasa lega dan dalam masa yang sama turut kagum dengan keberanian anjingnya.

Anak kucing itu sangat kecil dan tidak boleh keluar rumah dengan sendiri dan pasti anak kucing itu sangat berterima kasih kepada kawan baiknya kerana telah menyelamatkannya dalam bencana besar itu.

Orang ramai yang mengetahui tentang kisah ini menganggap anjing ini sebagai ‘hero’ sebenar kerana sanggup membahayakan diri semata-mata untuk menyelamatkan kawan baiknya.

Mungkin tidak ramai yang mampu mengikut tindakan anjing yang berani itu lebih-lebih lagi ketika berada dalam keadaan panik seperti itu. Benarlah, anjing ini memang ‘hero’ sebenar!

Maybe you're interested :

Share

Video Popular