- Era Baru Malaysia - http://www.erabaru.com.my -

Warga Wuhan saksi sendiri bagaimana kerajaan layan rakyat terjejas COVID-19 apabila menghantar bekalan daging mentah dengan lori sampah

Wilayah Hubei dan bandar Wuhan masih terkesan pandemik COVID-19 dengan perintah darurat serta kuarantin. Untuk membantu rakyatnya yang menderita dilanda kesusahan akibat wabak, kerajaan bertindak mengedarkan keperluan asas seperti bahan makanan dengan kemampuan yang dirasakan perlu.

Namun, pemandangan yang disaksikan ramai warga Wuhan ini akan meloyakan tekak serta menimbulkan kemarahan.

Dalam satu rakaman imej yang dimuat naik di laman Weibo, kelihatan satu insiden bagaimana pihak berkuasa tempatan di sebuah daerah di Wuhan mengedarkan daging mentah sejuk beku kepada warganya dengan menggunakan lori sampah.

Weibo

Menurut laporan media [1], situasi penularan wabak semakin reda di Wuhan dengan perintah berkurung dan kuarantin di bandar itu yang sudah berjalan selama satu bulan telah diberi sedikit kelonggaran.

Namun, mereka menyedari bahawa selama perintah itu berjalan, pihak kerajaan tempatan mengedarkan makanan kepada penduduk yang terjejas dengan menggunakan lori sampah yang sungguh meloyakan.

Pendedahan itu menyebabkan ramai warga Wuhan yang marah dengan memuat naik komen mereka di laman Weibo.

“Menakutkan,” tulis seorang netizen.

“Saya mengambil daging itu semalam, ibu saya kata ia berbau dan tidak baik jadi saya tidak memakannya di rumah,” seorang netizen memberi komen.

“Sungguh menjijikkan untuk dilihat,” tulis seorang warga Wuhan yang marah.

Ekoran pendedahan yang meloyakan itu, seorang pegawai bagi pihak kerajaan tempatan daerah Qingshan di Wuhan telah mengeluarkan kenyataan, “Pihak berkuasa kerajaan tempatan mendapati jawatankuasa kejiranan ‘Gangdu Garden’ yang dilantik telah menggunakan lori sampah ketika mengagihkan 1,000 bungkus daging sejuk beku setiap hari dan ketika pendedahan itu dirakam, sebanyak 530 bungkus daging mentah telah diagihkan.”

Akibatnya, dengan segera pihak jawatankuasa kejiranan telah menghantar wakil mereka untuk meminta maaf kepada setiap penduduk di kejiranan itu dan mengambil balik kesemua bekalan daging tersebut untuk dilupuskan.

Weibo

Pegawai atasan yang terlibat mengendalikan pengagihan makanan di daerah Qingshan telah dipecat serta-merta dan siasatan telah dijalankan.

Seorang pegawai dalam jawatankuasa pengendalian agihan bahan makanan tersebut yang dirahsiakan namanya berkata, “Kesilapan itu telah berlaku mungkin disebabkan kekurangan kenderaan pengangkut.” 

Difahamkan bagi mengekang penularan wabak COVID-19, semua penduduk telah diarah menjalani perintah berkurung. Oleh kerana mereka tidak dibenarkan keluar rumah untuk membeli barangan keperluan asas seperti makanan di kedai, para pegawai dan sukarelawan setiap kejiranan yang dilantik telah diarah kerajaan untuk mengedarkan keperluan itu kepada setiap penduduk. 

loading...