PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah berjaya mengenal pasti seramai 4,942 peserta yang menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur setakat  jam 7 malam, 14 Mac 2020 dengan 77 kes disahkan positif jangkitan COVID-19.

Menerusi kenyataan akhbar KKM, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan, daripada jumlah itu seramai 3,069 peserta datang sendiri ke klinik kesihatan untuk pemeriksaan dan saringan dengan 137 individu dirujuk ke hospital.

“Hanya 1,634 individu mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan dan sudah diambil sampel manakala 2,932 peserta akan dilakukan pemantauan di rumah masing-masing untuk tempoh 14 hari dari tarikh akhir menghadiri perhimpunan tabligh di masjid berkenaan,” katanya.

Kementerian Kesihatan Malaysia/Facebook

Beliau berkata, penyiasatan dan pengesanan peserta perhimpunan masih diteruskan.

Datuk Dr Noor Hisham mendedahkan sebanyak 77 kes yang disahkan positif jangkitan COVID-19 berkaitan dengan perhimpunan dikesan di Sabah, Negeri Sembilan, Sarawak, Johor, Melaka, Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Perak, Labuan, Pahang, Kedah, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Perlis.

Kesemua 77 kes ini masih dirawat di hospital dengan 1 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

“Kami menasihatkan orang awam yang menyertai perhimpunan tabligh tetapi belum menjalani pemeriksaan supaya menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran bagi mendapatkan nasihat serta tindakan lanjut perlu diambil,” tegasnya.

“Pada masa sama, jemaah yang diarahkan untuk menjalani pengawasan di rumah dinasihatkan supaya mematuhi arahan ini bagi mencegah penularan COVID-19,” katanya.

Datuk Dr Noor Hisham turut melaporkan, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis menempatkan 64 jemaah tabligh di Dewan Wawasan 2020 bagi menjalani perintah pengawasan dan pemantauan rumah terhadap jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan di Masjid Seri Petaling.

Noor Hisham Abdullah/Facebook

Manakala JKN Labuan pula menetapkan Klinik Kesihatan Membidai untuk saringan COVID-19 kepada jemaah tabligh menghadiri perhimpunan berkenaan serta individu menghadiri Program Klinik Hukum bersama Mufti Wilayah yang dibuka pada Sabtu dan Ahad bermula 8 pagi hingga 3 petang.

“Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya pula menjalankan aktiviti saringan jemaah tabligh di Masjid Seri Petaling sejak 12 Mac lalu,” katanya.

Masjid Seri Petaling sudah ditutup untuk disinfeksi selain digunakan untuk pengawasan jemaah selain pelajar madrasah yang berada di situ untuk tempoh 14 hari dari tarikh kes positif COVID-19 terakhir dikesan dalam kalangan mereka.

“Orang awam tidak dibenarkan keluar masuk ke masjid ini bagi mengelakkan penularan jangkitan,” kata Datuk Dr Noor Hisham dalam kenyataan itu.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular