KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan 39 kes baharu positif COVID-19 setakat 13 Mac menjadikan jumlah kumulatif positif terkini meningkat kepada 197 kes di Malaysia.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, daripada kes ini, sebanyak 38 kes dikesan di kalangan Patient-Under-Investigation (PUI) jangkitan COVID-19 dan satu kes dari kalangan kontak rapat.
“Sehingga kini, sebanyak 4 kes telah dilaporkan memerlukan bantuan pernafasan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi. Kes-kes ini juga telah diberikan rawatan anti-viral,” katanya.
#COVID19 Sebanyak 39 kes baru dilaporkan pada Jumaat, 13 Mac 2020.
Situasi semasa jangkitan COVID-19 di negara kita masih terkawal.
Amalkan langkah-langkah pencegahan setiap masa bagi melindungi diri anda dan keluarga serta masyarakat sekeliling. pic.twitter.com/sRHt5xZLpZ
— KKMPutrajaya (@KKMPutrajaya) March 13, 2020
Menurut Datuk Dr Noor Hisham, kes-kes bagi gelombang kedua yang dilaporkan bermula dari kes ke-23 sehingga kes ke-197, sebanyak 52 kes dilaporkan dari kalangan PUI, manakala kes-kes lain dilaporkan melibatkan dua kluster utama yang telah dikenal pasti.
“Kesemua kes ini telah dikesan dan diasingkan untuk rawatan selanjutnya,” jelasnya.
Di samping itu, KKM juga telah menjalankan survelan COVID-19 bagi mengesan kes terpencil atau sporadik di Malaysia melalui pesakit influenza like-illness (ILI) dan severe acute respiratory infection (SARI) yang tiada kaitan dengan sejarah perjalanan ke negara-negara yang terjejas atau kontak dengan kes positif COVID-19.
“Sehingga 13 Mac 2020, sebanyak 756 sampel telah diuji dan setakat ini sebanyak tiga sampel dikesan positif jangkitan COVID-19.
“Setakat ini, siasatan yang dijalankan mendapati kes-kes ini dikesan di kalangan kluster perhimpunan tabligh. Siasatan bagi kes-kes berkenaan masih dijalankan dan orang awam akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Perkembangan terkini #COVID-19 kluster perhimpunan tabligh di Seri Petaling melalui pengesanan kes positif dan pengasingan untuk rawatan. @DrAdhamBaba@DGHisham pic.twitter.com/9SgvScLo0I
— KKMPutrajaya (@KKMPutrajaya) March 13, 2020
Dalam pada itu, KKM menegaskan agar orang awam mengambil langkah berjaga-jaga seperti berikut bagi memerangi penularan wabak COVID-19.
- Orang awam tidak digalakkan untuk menghadiri perhimpunan atau tempat yang melibatkan orang ramai termasuklah tempat keagamaan, terutamanya mereka yang bergejala jangkitan saluran pernafasan.
- Semua penganjuran aktiviti yang melibatkan orang awam hendaklah ditangguhkan bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19. KKM akan memaklumkan perkembangan jangkitan ini dari semasa ke semasa.
- Penjagaan kebersihan diri yang baik adalah seperti sentiasa mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun, atau menggunakan ‘hand sanitizer’.
- Dapatkan rawatan perubatan segera sekiranya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk mahupun kesukaran untuk bernafas.
Kerajaan Malaysia juga memutuskan agar semua perhimpunan termasuk mesyuarat antarabangsa ditangguhkan sehingga 30 April 2020.
YouTube/Paparan Skrin
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata dalam perutusan khas mengenai COVID-19 pada 13 Mac jam 9 malam bahawa langkah itu diambil bagi menangani penularan pandemik COVID-19 di negara ini.
“Kerajaan telah memutuskan agar semua perhimpunan termasuk mesyuarat antarabangsa, acara sukan, sosial dan keagamaan ditangguhkan atau dibatalkan mengikut kesesuaian sehingga 30 April 2020. Keputusan ini akan diteliti semula sekiranya situasi COVID-19 bertambah baik,” katanya.
Tan Sri Muhyiddin juga berharap agar garis panduan bagi perhimpunan ibadat di masjid seperti mana yang dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri akan diikuti oleh pihak berkuasa Agama Islam Negeri.
Maybe you're interested :