Tatkala ramai individu yang mengecam dan tidak bersetuju dengan tatacara kerja pengurusan haiwan jalanan oleh pasukan penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), namun tidak semua anggota tersebut kejam sebenarnya.

Perkara itu dapat dibuktikan apabila seorang penguatkuasa DBKL parah apabila terjatuh ke dalam longkang kerana berniat untuk menyelamatkan seekor anak anjing terbiar di dalam longkang tersebut.

Mangsa, Amran Mat Dali yang berusia 40 tahun difahamkan bercuti bersama keluarganya di Port Dickson. Dia pada ketika itu bersama rakannya berjalan di tepi pantai melalui penutup longkang, sebelum terdengar bunyi anak anjing yang terperangkap di dalamnya.

Hasrat untuk menyelamatkan anak anjing berkenaan bertukar malang apabila penutup saliran berkenaan pecah lalu menyebabkan Amran terjerumus ke dalam longkang yang berkedalaman kira-kira 3 meter.

Sungguhpun dalam keadaan yang cemas tersebut, rakan kepada Amran walau bagaimanapun berjaya menyelamatkan anak anjing berkenaan. “Nasib baik ketika itu rakan saya ada bersama”, kata Amran.

Insiden itu turut membuatkan seorang nelayan berdekatan membantu menghubungi pihak Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang serta pihak polis bagi mengeluarkan Amran. Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Port Dickson untuk menerima rawatan.

Perkara tersebut turut mendapat perhatian pihak Animal Malaysia yang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Amran atas kerelaan dan kesungguhannya dalam menyelamatkan haiwan jalanan.

“Animal Malaysia berasa bertanggungjawab untuk menyantuni dan menghargai usaha beliau melalui kurniaan penghargaan”, tulis kenyataan badan tersebut menerusi akaun rasmi Facebook.

Dalam pada itu, Animal Malaysia turut meminta mana-mana individu yang mempunyai info tentang pegawai tersebut untuk menghubungi pihaknya di menerusi aplikasi WhatsApp di talian +601120901097.

Tambah Animal Malaysia, para pencinta haiwan yang tidak bersetuju dengan undang-undang Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengenai pengurusan haiwan jalanan perlu bersatu hati dengan meminta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk meminda undang-undang kecil dan Akta Kerajaan Tempatan 1976

Ia adalah bertujuan untuk memastikan agar kaedah pengurusan haiwan jalanan akan dijalankan dengan lebih berperikemanusiaan, sistematik serta selamat untuk kesemua haiwan jalanan.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular