Aktor Hollywood Tom Hanks mengesahkan beliau dan isterinya, Rita Wilson didapati positif menerima jangkitan COVID-19 dan mereka menjadi antara selebriti berprofil tinggi mendapat pandemik itu.

Dalam satu kenyataan di Instagram, aktor berusia 63 tahun itu menulis, “Saya dan Rita berada di Australia. Kami berasa sedikit letih, seperti mendapat selesema dan beberapa anggota badan mengalami kesakitan. Rita berasa seram sejuk yang datang dan pergi. Dengan sedikit demam juga. Untuk melakukan perkara yang betul, seperti yang dilakukan di seluruh dunia sekarang, kami telah diuji untuk koronavirus dan didapati positif.”

Tambahnya dalam Instagram itu, “Jadi, apa langkah yang seterusnya? Pegawai Perubatan mempunyai protokol yang mesti diikuti. Kami keluarga Hanks akan menjalani ujian, pemerhatian dan diasingkan selama mana yang dikehendaki oleh pihak kesihatan dan keselamatan awam. Tiada pendekatan dalam satu masa dalam satu hari, tidak? Kami akan terus memberitahu dunia dan mengemas kini. Jaga diri masing-masing!”.

tomhanks/Instagram

Pasangan ini sedang menjalani langkah pengasingan dan rawatan di Hospital Gold Coast, Australia.

Anak lelaki mereka, Chet Hanks, memuat naik video di Instagram memberitahu peminat bahawa ‘mereka baik-baik saja, bahkan tidak sakit.’

“Mereka tidak bimbang tetapi akan melakukan langkah berjaga-jaga yang perlu,” kata Chet.

Tambahnya, “Saya fikir tiada apa yang perlu dirasakan untuk terlalu bimbang. Saya rasa semuanya akan baik-baik sahaja.”

Tom Hanks dan Rita Wilson berada di Australia kerana kerja di mana aktor itu menjalani penggambaran sebuah filem baru arahan pengarah Baz Luhrmann. 

Menurut seorang kakitangan, produksi filem bajet besar Elvis yang dijalankan di studio Gold Coast Village Roadshow terpaksa dihentikan buat sementara ekoran pengesahan pasangan Hanks dijangkiti COVID-19. 

Annastacia Palaszczuk dari Queensland Premier berkata, mereka yang telah mengambil gambar dan swafoto dengan Tom Hanks beberapa hari yang lalu tidak harus berasa panik dengan memikirkan mendapat jangkitan virus itu.

Warner Bros juga mengeluarkan kenyataan mengenai diagnosis jangkitan positif koronavirus ke atas pemenang Anugerah Akademi itu.

tomhanks_international/Instagram

“Kami telah dimaklumkan bahawa anggota dari filem Elvis yang kini dalam pra-produksi di The Gold Coast, Australia telah diuji positif untuk COVID-19,” kenyataan itu memetik.

“Kami bekerjasama rapat dengan agensi kesihatan Australia yang sesuai untuk mengenal pasti dan menghubungi sesiapa sahaja yang mungkin mempunyai hubungan langsung dengan individu tersebut. Jaminan keselamatan dan kesihatan anggota syarikat kami sentiasa menjadi keutamaan, dan kami ingin mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi semua orang yang bekerja dengan produksi kami di seluruh dunia,” tambah kenyataan itu.

Selain Gold Coast di Queensland, Tom Hanks juga pernah berada di Bondi Beach di Sydney, New South Wales pada hari Ahad.

Isterinya, Rita Wilson yang juga seorang pelakon dan penyanyi telah berkunjung ke Hotel Emporium di South Bank Brisbane pada Khamis lalu. 

Pengurus Besar hotel, Charles Martin, telah memberi jaminan kepada tetamu dan kakitangan hotel dengan mengatakan bahawa bilik di mana Rita Wilson mengadakan persembahan dan mana-mana kawasan yang berkaitan telah dibersihkan.

Rita Wilson juga turut mengadakan persembahan di Sydney Opera House pada hari Sabtu.

Pada hari Isnin, Rita Wilson melawat studio Channel Nine di Sydney sebagai tetamu rancangan televisyen. 

Berikutan diagnosis Rita Wilson yang disahkan positif jangkitan COVID-19, syarikat penyiaran mengeluarkan kenyataan mengatakan bahawa pihak mereka ‘telah mengambil tindakan sejajar dengan pelan tindak balas krisis’ yang selaras dengan garis panduan yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Kesihatan dan Kerajaan Australia.

“Semua kontak rapat Rita Wilson telah diuji dan diarah mengasingkan diri selama 14 hari,” kata jurucakap Channel Nine . 

tomhanks_international/Instagram

“Premis kami sedang dibersihkan sepenuhnya di semua kawasan yang dikunjunginya dan kami menggalakkan pekerja kami untuk memantau kesihatan mereka dan mengamalkan kebersihan yang baik,” jelas jurucakap itu.

Australia melaporkan 128 kes jangkitan COVID-19, sementara Amerika Syarikat dengan 1,311 kes positif menurut data dari Universiti Johns Hopkins dan WHO pada Rabu 11 Mac. 

Pandemik yang berasal dari Wuhan, China dengan kes yang dilaporkan pada lewat tahun 2019 itu kini telah menular ke 112 buah negara di dunia dengan membunuh 4,630 nyawa atau lebih.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular