Sekarang ini, salah satu sajian baharu yang menjadi kegilaan orang ramai adalah tauhu begedil. Bagi sajian nasi lemak, perkara yang paling penting untuk orang merasai keenakan nasi lemak adalah sambal dan nasinya. Begitu juga dengan tauhu begedil. Sambal kicap yang seimbang dengan rasa pedas dan manis, isinya yang padat dan tauhu yang lembut pasti menggamit selera sesiapa sahaja yang menggemarinya.

Kali ini, kami akan berkongsi resipi tauhu berlauk daripada Norishah Nordin yang dikatakan paling sedap di alam semesta! Perbezaan di antara sajian ini dengan tauhu begedil adalah sajian ini dikukus terlebih dahulu sebelum dicelup dengan telur dan digoreng.

Bahan-bahan tauhu berlauk:

  • 4 keping tauhu
  • 2 keping tauhu telur
  • Daging kisar
  • 2 biji telur
  • Lobak merah dihiris halus
  • Daun sup dihiris halus
  • Daun bawang dihiris halus
  • Cili merah dihiris halus
  • Serbuk lada sulah
  • Serbuk lada hitam
  • Garam
  • Serbuk perasa

Bahan-bahan sambal kicap:

  • Cili padi
  • Bawang putih
  • Gula
  • Kicap

Cara menyediakan:

Pertama sekali, anda perlu mengisar tauhu, tauhu telur dan juga telur.

Kemudian, gaulkan bahan yang telah dikisar ini bersama daun sup, daun bawang, lobak merah dan juga cili merah. Gaul hingga sebati.

Seterusnya, masukkan daging kisar. Anda boleh membiarkan daging kisar anda secara mentah atau menggorengnya tanpa minyak. Terpulang kepada citarasa masing-masing.

Perasakan adunan ini dengan serbuk perasa, garam, serbuk lada sulah dan juga serbuk lada hitam. Gaulkan sehingga adunan sebati.

Sediakan periuk pengukus. Masukkan adunan tadi ke dalam acuan dan kukus selama lebih kurang 20 ke 30 minit.

Kemudian, keluarkan tauhu berlauk yang telah dikukus tadi daripada acuannya dan biarkan seketika.

Celupkan sajian ini ke dalam telur dan goreng di dalam minyak yang panas sehingga warnanya bertukar menjadi kuning keemasan.

Anda juga boleh menghasilkan sajian ini dan disimpan di dalam peti sejuk untuk dibekukan. Setiap kali anda teringin untuk menikmatinya, anda hanya perlu keluarkan dari peti sejuk, celup di dalam dan terus goreng. Mudah bukan?

Untuk menyediakan sambal kicapnya pula, apa yang anda perlu lakukan adalah tumbuk cili padi bersama bawang putih dan sedikit gula. Bergantung kepada anda sama ada ingin cilinya kasar atau lumat. Setelah itu, campurkan bahan yang telah ditumbuk tadi bersama kicap.

Sajian tauhu berlauk ini sememangnya sesuai untuk hidangan minum petang atau dibawa sebagai bekal ke sekolah mahupun pejabat. Sekali cuba, pasti nak lagi! Jangan lupa mencuba resipi ini di rumah ya? Selamat menjamu selera!

Maybe you're interested :

Share

Video Popular