KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengesan lebih 5,000 ahli jemaah tabligh Malaysia yang terlibat dengan perhimpunan itu di Masjid Seri Petaling yang berlangsung pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, usaha itu dilakukan susulan laporan International Health Regulations (IHR) Focal Point (FP) Brunei yang mengesan satu kes positif COVID-19 ada kaitan dengan perhimpunan tersebut.

Kementerian Kesihatan Brunei sebelum ini mengesahkan bahawa kes pertama membabitkan COVID-19 di negara itu pada 9 Mac lalu dengan lima kontak kepada Kes Pertama yang telah disahkan positif jangkitan.

Individu tersebut yang berusia 53 tahun dipercayai telah menghadiri satu majlis keagamaan yang dianjurkan di Malaysia.

Menurut laporan media, pesakit telah bertolak ke Kuala Lumpur untuk menghadiri perhimpunan keagamaan pada 27 Februari dan pulang ke Brunei pada 3 Mac melalui Miri, Sarawak dengan menaiki penerbangan AirAsia AK5651.

Kes pertama positif COVID-19 dari Brunei melaporkan mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling pada 27 Februari 2020 hingga 1 Mac 2020.

Dianggarkan lebih 10,000 orang terlibat dalam perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling membabitkan ahli jemaah dari pelbagai negara.

Daripada jumlah tersebut, separuh daripadanya terdiri daripada jemaah Malaysia.

Sehubungan itu, Datuk Dr Noor Hisham menasihatkan mereka yang menghadiri perhimpunan tabligh tersebut untuk menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran atau Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CPRC) negeri sekiranya mengalami gejala.

“Sekiranya tidak mengalami gejala, mereka hendaklah mengamalkan penjara sosial sekurang-kurangnya satu meter dari orang lain selama 14 hari dari tarikh akhir menghadiri perhimpunan tersebut,” katanya.

Kementerian Kesihatan Malaysia menggesa semua perhimpunan yang melibatkan orang ramai ditangguhkan bagi mencegah kemungkinan jangkitan COVID-19 berikutan peningkatan kes positif pandemik yang semakin membimbangkan.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular