KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia mengumumkan sebanyak 20 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan setakat 12 tengah hari 11 Mac menjadikan jumlah kes kumulatif meningkat kepada 149 di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam kenyataan media, daripada jumlah keseluruhan yang positif, sebanyak 22 kes dikesan dalam kalangan pesakit dalam siasatan (PUI), 124 kes kontak rapat, dua kes daripada Misi Bantuan Kemanusiaan, manakala satu kes dari jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) melalui survelan COVID-19.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan Malaysia sedang menjalankan siasatan bagi mengesan kontak-kontak rapat bagi setiap kes baharu itu sehingga punca jangkitan dapat dikenal pasti.

Kementerian Kesihatan Malaysia/Facebook

Beliau memaklumkan dua kes telah dilaporkan berada di Unit Rawatan Rapi dan memerlukan bantuan alat pernafasan tetapi dalam keadaan stabil. Daripada kes ini, satu kes sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh, manakala satu kes lagi dirawat di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. 

Datuk Dr Noor Hisham turut memaklumkan semua 66 rakyat Malaysia dan ahli keluarga yang dibawa pulang dari Wuhan, China melalui Misi Bantuan Kemanusiaan pada 26 Februari telah dibenarkan pulang ke rumah selepas menamatkan tempoh pemantauan di Pusat Pengawasan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di Negeri Sembilan.

“Kesemua mereka tidak bergejala dan semua sampel ulangan bagi mereka telah disahkan negatif,” katanya.

Beliau juga mengumumkan satu kes iaitu kes ke-78 yang disahkan positif COVID-19 sebelum ini telah pulih serta dibenar pulang, menjadikan jumlah keseluruhan yang pulih adalah sebanyak 26 kes.

@KKMPutrajaya/Twitter

Dalam perkembangan lain, Datuk Dr Noor Hisham berkata International Health Regulations Focal Point (IHRFP) Brunei telah memaklumkan kepada IHRFP Malaysia mengenai kes COVID-19 yang disahkan telah dikesan di negara itu.

Kes tersebut dilaporkan mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling, Selangor pada 27 Februari hingga 1 Mac.

Berdasarkan maklumat awal, perhimpunan tabligh ini melibatkan anggaran sejumlah 10,000 orang dari beberapa buah negara termasuk Malaysia.

Peserta dari Malaysia adalah dianggarkan melebihi 5,000 orang. Semua Jabatan Kesihatan Negeri sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai perkara ini di negeri masing-masing,” menurut Datuk Dr Noor Hisham.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan mereka yang menghadiri perhimpunan tabligh tersebut untuk menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran atau Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CPRC) negeri sekiranya mengalami gejala.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular