Kebaikan hati dan perasaan belas kasihan itu adalah satu bahasa sama memupuk sikap kemanusiaan yang dimiliki oleh setiap manusia tidak mengira bangsa.

Asal sahaja kita membuat keputusan untuk menunjukkan sikap kemanusiaan tidak kira di mana, perkara baik yang memberi ketenangan di hati pasti akan berlaku.

Satu insiden menyentuh hati telah berlaku baru-baru ini di Muar, Johor apabila akibat kebaikan hati seorang pemuda, nyawa seorang warga emas berusia 73 tahun telah berjaya diselamatkan.

@Nannaz17/Twitter

Gambar seorang penunggang motosikal berjaya memujuk rayu seorang lelaki warga emas berbangsa Cina daripada cubaan membunuh diri mendapat perhatian netizen dengan lebih 20,000 retweet.

Gambar yang dimuat naik seorang pengguna Twitter Nan Manjoi@Nannaz17 menunjukkan seorang pemuda berbangsa Melayu bermotosikal dengan nombor pendaftaran negeri Johor memegang bahu lelaki warga emas, dipercayai sedang memujuknya supaya tidak terjun ke dalam sungai dari sebuah jambatan. 

Difahamkan warga emas ini cuba membunuh diri dengan terjun dari Jambatan Muar dalam kejadian yang berlaku pada 7 Mac. Dia dikatakan begitu kecewa kerana tidak dapat menyembuhkan penyakitnya dan mahu menamatkan nyawanya dari jambatan itu.

Nan Manjoi berkongsi di Twitter, “Kejadian berlaku sebentar tadi. Pemuda Melayu memujuk seorang lelaki berbangsa Cina yang hendak membunuh diri. Akhirnya pak cik tersebut berjaya diselamatkan orang ramai dan bomba.”

Atas jasa baik dan tindakan pantas pemuda ini yang terserempak dengan pak cik itu lalu memujuk rayunya supaya tidak melakukan perkara yang sia-sia, akhirnya dia telah berjaya ditarik keluar dari tebing jambatan itu dan diselamatkan.

@Nannaz17/Twitter

“Inilah rakyat kita yang sebenar,” tulis Nan Manjoi dalam tweet itu.

Tindakan pantas dan mulia pemuda Melayu ini mendapat pujian ramai dengan memberi komen isu politik yang kini hangat diperkatakan tidak menjejaskan hubungan baik antara rakyat berbilang bangsa.

“Dunia realiti baik saja semua, tapi politik yang menghancurkan keharmonian negara berbilang kaum. Tolak politik perkauman,” tulis seorang netizen.

Selain itu, seorang netizen menyarankan agar orang ramai membantu antara satu sama lain atas dasar sifat kemanusiaan.

“Kita semua ciptaan Tuhan, kenapa banyak masalah tentang kaum dan agama? Cuma jadi baik sesama sendiri,” komen netizen ini.

“Kuasa kata-kata. Dengan kata yang betul, kamu dapat ubah hati seseorang,” tulis netizen ini pula.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI Pesona

Video Popular