PUTRAJAYA – Hospital Sungai Buloh bakal dijadikan sebagai hospital khusus untuk merawat penyakit berjangkit susulan penularan jangkitan COVID-19 di dalam negara.

Ia didedahkan oleh Dr Suresh Kumar Chidambaram selaku Pakar Perunding Penyakit Berjangkit ketika sesi libat urus antara Kementerian Kesihatan yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan pengamal media.

Facebook

Menurut Dr Suresh, keputusan berkenaan adalah bagi memastikan kemudahan dan persiapan yang diperlukan lengkap untuk menghadapi sebarang kemungkinan di masa akan datang.

Mengulas berkenaan pengurusan perubatan dan persediaan negara, Dr Suresh berkata pihaknya maklum akan hospital-hospital yang berhadapan masalah katil namun di Sungai Buloh, tiada masalah kekurangan katil untuk pesakit COVID-19.

Buat masa ini, tingkat empat dan lima hospital berkenaan dikhususkan untuk pesakit COVID-19, masing-masing dengan 112 katil. Manakala tingkat tiga pula sebanyak 14 katil unit rawatan rapi (ICU) dikhaskan kepada pesakit serius yang memerlukan bekalan oksigen dan rawatan rapi.

Terdapat permintaan agar hospital tersebut dijadikan sebagai hospital untuk penyakit berjangkit dan menurut Dr Noor Hisham, pihaknya akan menjadikan Hospital Sungai Buloh sebagai hospital untuk penyakit berjangkit yang kekal.

Jabatan sedia ada daripada dua tingkat yang dikosongkan itu dipindahkan ke fasiliti perubatan berhampiran agar Hospital Sungai Buloh boleh menumpukan kepada penyakit berjangkit seperti COVID-19.

Tambah beliau, selain Hospital Sungai Buloh yang menjadi pusat perubatan khusus untuk merawat kes COVID-19, Hospital Shah Alam dan juga Hospital Rehabilitasi Cheras turut memainkan peranan yang sama.

Sesi taklimat itu turut dihadiri oleh Datuk Dr Chong Chee Kheong selaku Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan ( Kesihatan Awam), Datuk Dr Rohaizat Yon selaku Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) dan pakar kesihatan awam, Dr Wan Noraini Wan Mohamed Nor.

Dr Chong menafikan virus COVID-19 disebarkan menerusi udara dan boleh merebak dalam persekitaran berhawa dingin yang bertutup berbanding di bawah sinar matahari, sebaliknya ia disebarkan menerusi titisan kecil.

Tambahnya, titisan kecil itu jika jatuh ke lantai akan mati apabila kering. Namun jika ia terkena pada tangan maka ia tangan itu akan menjadi pembawa jangkitan. Oleh itu, Dr Chong menasihati orang ramai untuk kerap membasuh tangan dan elak menggosok muka atau mata dengan tangan.

Oleh kerana ia tersebar melalui titisan kecil, penggunaan penutup mulut dan hidung sebagai perlindungan sudah mencukupi. “Jika virus tersebut tersebar menerusi udara, seseorang itu memerlukan topeng N95”, jelasnya lagi.

Antara isu lain yang dibincangkan adalah penggunaan polis bantuan untuk melakukan pengesanan kontak buat mereka yang diuji positif, sekiranya staf perubatan awam sedia ada tidak dapat menangani peningkatan angka kontak rapat yang perlu dikesan.

Sebagai langkah mengurangkan kesesakan hospital, orang ramai disarankan untuk menggunakan khidmat klinik maya atau kemudahan portal kementerian, selain khidmat mendapatkan sampel di rumah untuk ujian COVID-19.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular