Siapa suka matapelajaran Sejarah? Mungkin ada yang menggemari subjek ini tetapi rata-ratanya mengakui kelemahan masing-masing dalam mendapatkan markah yang tinggi dalam subjek tersebut. Hal ini kerana matapelajaran Sejarah adalah berdasarkan kepada fakta dan ianya sudah tentu memerlukan kemahiran menghafal yang baik untuk anda skor.

Ramai yang cenderung untuk menghafal setiap perkataan dan fakta di dalam buku teks dan perkara ini sudah tentu boleh menjerat diri kerana apabila otak tidak cukup rehat, segala fakta yang anda hafalkan sebelum ini berkemungkinan ‘lesap’ begitu sahaja sewaktu anda menjawab soalan peperiksaan.

Namun, seorang pengguna Twitter dikenali sebagai @aintheorchid menjadi bualan hangat di laman sosial baru-baru setelah memuat naik keputusan peperiksaan yang sangat cemerlang bagi kertas Sejarah. Memperoleh keputusan sebanyak 99%, @aintheorchid ternyata berjaya mencuri tumpuan ramai dan telah berkongsi beberapa tips penting yang dia amalkan sehingga berjaya memperoleh keputusan sebaik itu.

#1 Banyakkan latihan menjawab soalan-soalan lepas

Menurut @aintheorchid, kebiasaan soalan peperiksaan Sejarah adalah soalan yang berulang. Justeru, dengan membuat latih tubi menggunakan soalan peperiksaan tahun sebelum, nescaya kita akan membina pemahaman yang lebih dalam subjek berkenaan.

#2 Membuat nota dalam bentuk peta pokok atau akronim

Nota yang dihasilkan dalam bentuk peta minda atau akronim seperti ini akan memudahkan anda dalam proses menghafal fakta. Untuk menguatkan lagi daya ingatan, anda boleh menghasilkan nota menggunakan tulisan berwarna-warni atau membuat lukisan yang ringkas bagi melambangkan sesuatu fakta. Jadi, tidaklah anda berasa bosan membaca barisan ayat yang padat dengan fakta itu.

#3 Mahiri teknik Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)

Untuk pengetahuan anda, untuk mendapat markah penuh dalam soalan berbentuk KBAT memerlukan teknik yang berikut:

  • Kepala ayat
  • Isi
  • Huraian
  • Contoh
  • Kesan
  • Inferens (kesimpulan)

#4 Jadikan nota sebagai lagu

Perasan tak, kita mudah untuk menghafal beratus-ratus lagu yang pelbagai bahasa dari zaman kecil sehingga sekarang. Jadi untuk memudahkan proses penghafalan, anda boleh mengubah nota-nota anda dan menyanyikannya dalam sebarang lagu yang anda suka.

Kekalkan irama dan rentak seperti lagu asal cuma ubah sahaja liriknya menjadi fakta atau ayat di dalam nota anda. Apa yang penting adalah anda harus menggunakan ayat anda sendiri bagi memudahkan kefahaman. Jangan ambil terus ayat dari buku teks ya?

#5 Waktu menghafal terbaik

Bagi subjek Sejarah atau mana-mana subjek yang memerlukan penghafalan, waktu terbaik untuk menghafal adalah pada waktu pagi. Bagi @aintheorchid, dia akan menyiapkan kerja sekolah sehingga jam 11 malam dan akan bangun pada pukul 2.30 pagi untuk menghafal. Pada waktu ini, otak menjadi lebih segar dan mampu menyimpan banyak maklumat dengan cepat dan mudah.

#6 Jangan buka buku pada saat akhir sebelum peperiksaan bermula

Ini merupakan salah satu tips yang bukan sahaja diamalkan oleh @aintheorchid tetapi juga ramai pelajar cemerlang lain.

“Aku baca dulu topik apa yang aku nak belajar atau masuk peperiksaan, aku ingat betul-betul dalam masa lima minit dan aku tulis balik apa yang aku hafal atas kertas menggunakan ayat aku sendiri”.

“Sebelum masuk dewan, aku tidak akan buka buku langsung kerana aku nak bagi otak aku berehat. Banyakkan berzikir sahaja waktu itu”.

Perkongsian dan tips oleh @aintheorchid yang dikongsikan pada Jumaat lalu sehingga kini telah mencecah lebih 10,000 ulang kicau. Ramai netizen memuji teknik yang dikongsikan kerana ianya bukan sahaja memudahkan kefahaman tetapi turut membantu dalam menjawab soalan dengan lebih baik. Semoga perkongsian ini akan memberikan manfaat kepada anda semua dalam usaha untuk memperoleh keputusan yang cemerlang.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP INSPIRASI

Video Popular