Anjing bukan sahaja peneman setia buat manusia bahkan mereka juga merupakan ‘penjaga’ terbaik buat insan yang disayanginya, bukan? Maka kerana itulah mereka dianggap sebagai teman rapat manusia.

Selain daripada bijak, anjing berbaka seperti German Shepherd, Rottweiler, Bullmastif dan beberapa baka lagi merupakan antara jenis anjing yang sesuai untuk menjaga keselamatan pemilik mereka.

Berbeza dengan anjing lain yang sentiasa memantau dan menjaga persekitaran rumah pemilik mereka, seekor anjing berusia enam tahun bernama Jakey pula menggunakan kepakarannya untuk menjaga sesuatu yang lain daripada yang lain.

Katrina Frank/Facebook

Anjing betina berkenaan sebenarnya lebih selesa ‘menjaga’ roti untuk keluarganya apabila ketiadaan sesiapa di rumah. “Ia bermula empat tahun lalu apabila kami berpindah dari ladang”, jelas ‘ibu’ Jakey, Katrina Frank.

Sememangnya Jakey mempunyai deria bau terbaik untuk makanan berasaskan roti! Saat ibunya melangkah masuk sahaja dengan bungkusan roti, maka anjing tersebut akan berhenti daripada aktivitinya untuk memastikan roti itu benar-benar selamat.

“Setiap kali kami meninggalkan rumah, Jakey akan menyembunyikan roti-roti kami”. Selama beberapa tahun Jakey menjaga roti keluarga tersebut, anjing pintar itu tidak sekali pun pernah memakannya.

Katrina Frank/Facebook

“Jakey akan memastikan haiwan-haiwan lain di rumah juga tidak memakan roti yang dijaganya”, tambah Katrina lagi. Anjing tersebut akan meletakkan roti itu di belakang sofa dan berbaring di sebelahnya.

Ataupun Jakey akan memasukkan roti tuannya itu ke dalam almari di bilik tidur Katrina. “Pada saya, Jakey mungkin merasakan bahawa roti itu adalah perkara paling penting untuk kami memandangkan kami selalu memakannya”.

Keluarga tersebut difahamkan mempunyai kotak simpanan roti dan Jakey dikatakan suka melompat padanya dan kemudian menariknya. “Jika saya letakkan ia di pantri, Jakey akan membuka pintu dan membawanya keluar”.

Sebelum ini, Katrina juga pernah meletakkan kotak tersebut ke dalam peti ais namun Jakey masih mampu menghidunya. Jakey kemudian membuka peti ais dan mengambilnya. Nampaknya Jakey benar-benar mahu menjaga roti itu sebaiknya.

Katrina Frank/Facebook

Katrina juga sudah terbiasa dengan mimik muka bersalah Jakey – yang menukar lokasi roti itu apabila setibanya dia di rumah. Namun Katrina tahu bahawa rotinya itu tidak akan hilang dalam tempoh yang lama.

Mungkin anda tertanya-tanya apa akan jadi pada Jakey jika keluarga tersebut tidak membeli roti, bukan? Ia tidak akan berakhir begitu sahaja kerana Jakey akan beralih kepada makanan yang dibakar.

“Pernah sekali Jakey mengeluarkan biskut daripada bekas Tupperware dan menyembunyikannya tanpa memecahkan biskut tersebut. Jakey kemudian membawa saya kepada biskut-biskut berkenaan”.

Begitulah ragam Jakey, si anjing pintar yang suka menjaga dan menyembunyikan makanan. Selain itu, Jakey juga pernah menjaga mentega. Macam-macamlah Jakey! Namun selagi ada Jakey, maknanya stok makanan keluarga ini selamat di rumah, bukan?

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI Pesona Ria

Video Popular