Terdapat sebuah pekan kecil di Amsterdam, Belanda bernama Hogeweyk yang kelihatan seperti pekan atau bandar lain di Belanda di mana penghuninya bebas menjalani rutin harian dan melakukan pelbagai aktiviti.
Namun apa yang membezakan penghuninya di sini ialah kesemuanya terdiri daripada warga emas.
Terlihat warga emas yang duduk dengan tenang sambil membelai kucing atau membawa anjing peliharaan berjalan-jalan. Ada pula warga emas yang berkumpul santai di taman sambil minum teh di waktu petang dan kelihatan sungguh gembira dalam kehidupan bersosial mereka.
Gambaran kehidupan warga emas yang tenang dan indah serta ternampak penuh ideal, namun segala yang berada di dalam pekan Hogeweyk sebenarnya adalah palsu.
Pekan Hogeweyk terbina di atas tanah yang berkeluasan kira-kira 10 padang bola. Penempatan warga emas yang dilengkapi dengan pasaraya, restoran, pejabat pos, pusat rekreasi dan pelbagai kedai lain tetapi kesemuanya adalah palsu.
Satu pintu masuk pekan ini dikawal sepenuhnya oleh pihak pengurusan dengan hanya memberikan kebenaran keluar masuk kepada para pelawat yang merupakan waris penghuni serta kakitangan dan para sukarelawan yang mendapat pengesahan.
Pekan kecil ini mungkin kelihatan palsu bagi mereka yang menyedari realiti, tetapi merupakan pekan impian membahagiakan penghuninya yang terdiri daripada warga emas menderita penyakit Alzheimer dan demensia.
Anda boleh bayangkan bagaimana perasaannya apabila diri sering terlupa dalam setiap saat dan hanya perkara membahagiakan diri dalam kehidupan lalu yang diingati.
Dalam pekan ini, terdapat kira-kira 152 golongan tua yang menghidap Alzheimer dan demensia yang dijaga oleh kakitangan rumah jagaan warga emas terlatih dan profesional.
Tidak seperti di rumah jagaan orang-orang tua yang biasa, di sini penjaga menyamar sebagai jiran, juruwang di pasaraya, pendandan rambut di salon, pemilik dan pekerja restoran malahan sebagai orang awam yang bersiar-siar di taman dan lorong sambil memerhatikan.
Pekan Hogeweyk merupakan pusat jagaan pesakit Alzheimer dan demensia yang pertama di dunia menyediakan kemudahan dengan persekitaran bebas buat penghuninya.
Persekitaran yang membuat para pesakit berasa lebih tenang, gembira dan bahagia serta tidak berasa terkongkong seperti berada di hospital atau pusat jagaan orang tua.
Dalam pekan ini, terdapat rumah-rumah yang dibina khas dan dihuni antara 6 hingga 7 orang warga emas atau pesakit Alzheimer di bawah jagaan 2 orang jururawat.
Memori indah yang kekal dalam fikiran pesakit Alzheimer biasanya di zaman kanak-kanak dan remaja, maka hiasan dalamannya direka mengikut zaman pada era 50-an dan 60-an supaya penghuni dapat menyesuaikan diri serta berasa selesa dengan persekitaran yang diingati mereka.
Selain, terdapat juga rumah dengan rekaan dalaman bertema moden, kerohanian serta berkonsep kekeluargaan.
Kebanyakan perabot yang disediakan berbentuk klasik bersesuaian dengan zaman silam penghuni bagi membolehkan mereka berasa selesa dan tenang dengan memori yang diingati.
Para jururawat hanya berpakaian biasa dan menyamar seperti seorang jiran atau orang muda yang rapat melayani orang tua serta membantu mereka menjalani rutin harian.
Warga emas ini bebas bergerak dan boleh keluar dari bilik mereka sesuka hati tanpa halangan. Mereka bebas untuk melakukan apa sahaja kerja rumah, keluar membeli-belah atau bersosial serta menikmati sarapan, makan tengah hari dan makan malam bersama jiran-jiran.
Sambil ditemani penjaga, mereka boleh keluar membeli-belah di pasaraya olok-olok dan ‘membayar’ kesemua barangan keperluan di kaunter pembayaran walaupun tiada wang yang diambil oleh juruwang di situ.
Warga emas ini tidak akan berasa keliru dan menjadi bingung jika terlupa untuk mencari jalan pulang selepas keluar kerana golongan muda yang berada di dalam pekan ini adalah kakitangan yang ditugaskan untuk membantu mereka.
Setiap antara mereka berhak untuk menikmati kehidupan seperti mana orang normal. Mereka bebas untuk pergi ke salon dan mendandan rambut, pergi ke kelas membuat roti dan kek atau melakukan aktiviti sukan yang disukai.
Tiada doktor atau jururawat yang akan melarang pesakit ini daripada melakukan apa sahaja aktiviti kesukaan.
Seorang isteri dilihat melawat suaminya yang menderita Alzheimer hampir setiap hari dan mereka gemar bermain piano sambil menyanyi kerana setiap saat bersama itu membahagiakan kehidupan pasangan ini.
Walaupun pekan ini tidak membenarkan kemasukan orang awam, golongan pelawat tertentu yang mendapat pengesahan pihak pengurusan akan diberi kebenaran untuk memasukinya seperti pelajar sekolah berdekatan yang dilihat sedang beramah mesra dengan penghuni.
Pesakit Alzheimer juga berhak mendapat kehidupan normal dan bermaruah seperti mana orang lain dan mereka tidak sepatutnya dipinggirkan walaupun umum mengetahui golongan ini sedang mengalami kemerosotan ingatan dan pemikiran.
Pekan Hogeweyk telah diasaskan oleh bekas jururawat dan penjaga warga emas profesional bernama Yvonne Van Amerongen.
Beliau mendapat ilham membina pekan ini untuk menempatkan pesakit Alzheimer dan demensia menjalani kehidupan normal serta bermaruah selepas melihat sendiri bagaimana ramai warga emas hidup dengan dipersalahkan kerana penyakit mereka.
Yvonne berkata bapanya meninggal dunia akibat serangan jantung dan beliau berasa bersyukur kerana bapanya tidak terlantar di hospital atau pusat penjagaan orang tua.
Insiden tersebut telah mengilhamkannya untuk memulakan projek pembinaan rumah penjagaan warga emas dengan tema istimewa di mana mereka bebas menikmati hidup sambil menghabiskan sisa kehidupan dengan bermaruah dan bahagia.
Dengan sokongan pihak berkuasa serta menerima sumbangan dana persendirian yang dikumpulkan, pekan Hogeweyk akhirnya telah siap dibina pada tahun 2009 dengan perbelanjaan 19.3 juta euro.
Yvonne berkata golongan warga emas yang menderita Alzheimer dan demensia di Hogeweyk mendapat perlindungan dan dijaga dengan baik oleh penjaga profesional. Mereka hidup lebih bebas dan gembira tanpa bimbang akan penyakit yang dideritai.
Oleh kerana golongan ini hidup tidak dikongkong serta bebas memilih aktiviti kesukaan, mereka mempunyai selera makan yang baik, kurang memakan ubat, mempunyai tenaga dan apa yang penting berasa gembira setiap hari.
Beberapa negara lain turut membina penempatan golongan tua dan pesakit Alzheimer serta demensia mengikut model ini setelah mendapat inspirasi dari pekan Hogeweyk.
Australia contohnya membina pekan kecil Korongee di Hobart, Tasmania yang menempatkan golongan tua bebas bergerak di jalanan yang dilindungi pihak pengurusan dan melakukan aktiviti harian dengan kehendak mereka sambil dipantau penjaga masing-masing.
Maybe you're interested :
- Olah lagu Peluang Kedua menjadi lagu berunsur tradisional lengkap dengan tarian tradisional Melayu, buah tangan program latihan seni ini raih pujian ramai
- Transmisi manusia ke manusia disahkan dalam penularan wabak coronavirus di China
- Berniat bantu pelajar yang kurang berkemampuan jalani kelas dalam talian, Ustaz Ebit Lew tawar gajet Samsung Galaxy Tab A secara percuma kepada pelajar yang benar-benar memerlukan