PETALING JAYA –  Ibu pejabat takaful Hong Leong mengesahkan pada 9 Mac, seorang pekerjanya disahkan positif Covid-19 pada Jumaat lalu.

Bank tersebut dalam satu kenyataan berkata, pekerja yang bertugas di Menara B, PJ City Development itu mula menjalani kuarantin di rumah pada 2 Mac selepas tidak sihat dan kini dirawat di sebuah hospital kerajaan.

Beberapa pekerja lain yang merupakan kontak langsung dengan pesakit itu turut menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari mulai 2 Mac lalu.

Hong Leong MSIG Takaful Berhad/ Facebook

Mereka yang terbabit akan menjalani siasatan lanjut sejajar garis panduan Kementerian Kesihatan.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan 100 kes disahkan positif Covid-19 di Malaysia dengan 24 kes daripadanya telah sembuh sepenuhnya.

Hong Leong MSIG Takaful berkata, langkah mitigasi awal dan keselamatan awam diaktifkan bagi mengelakkan pekerjanya menghadapi sebarang risiko, termasuk sanitasi menyeluruh di setiap pejabatnya setiap hari.

Menurut jurucakap bank tersebut, langkah penyahjangkitan dan pembersihan terperinci turut dilakukan di semua pejabat di Menara B pada 7 dan 8 Mac lalu, serta diperluaskan ke semua kawasan umum termasuk surau, kafetaria, tempat letak kereta, tandas dan lif, susulan garis panduan Kementerian Kesihatan.

“Langkah seterusnya termasuk saringan suhu di lobi, pengasingan lif akses dalam kumpulan tertentu dan pencegahan kemasukan rentas bangunan,” katanya.

“Berdasarkan garis panduan perubatan dan rasmi oleh Kementerian Kesihatan, bangunan kami masih dibuka dan beroperasi seperti biasa,” Hong Leong MSIG Takaful menjelaskan dalam kenyataan itu.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular