PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa sehingga 8 Mac 2020, jam 12 tengah hari, terdapat 6 kes baharu jangkitan COVID-19 telah dilaporkan. 

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan media mengumumkan, dengan pertambahan 6 kes baharu ini, menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 99 kes.

Kesemua kes baharu yang dilaporkan terdiri daripada kontak- kontak rapat kluster kes ke-26, Datuk Hisham Hamdan.

 

Kesemua kes ini telah dikesan dan diasingkan untuk rawatan selanjutnya.

Kontak-kontak rapat bagi kes ini juga sedang dikenal pasti untuk siasatan dan pengambilan sampel.

Kesemua kes telah dikesan semasa aktiviti pengesanan kontak dan telah dimasukkan ke hospital bagi isolasi dan rawatan selanjutnya.  

Aktiviti pengesanan kontak rapat masih sedang dijalankan sehingga punca di mana jangkitan ini terjadi dapat dikenal pasti.

Daripada jumlah ini sebanyak 18 kes dikesan di kalangan Patient-Under-Investigation (PUI) jangkitan COVID-19, 79 kes dari kalangan kontak rapat dan 2 kes dari Misi Bantuan Kemanusiaan. 

Sebanyak 2 kes telah dilaporkan memerlukan bantuan pernafasan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi. Kes-kes ini juga telah diberikan rawatan anti-viral.

Bagi kes-kes gelombang kedua yang dilaporkan bermula kes ke-23 sehingga kes ke-99, hanya 5 kes sahaja yang dilaporkan dari kalangan PUI dan mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara. 

Manakala kes-kes lain pula melibatkan kluster yang terdiri daripada kontak-kontak rapat dan mempunyai kaitan antara satu sama lain.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah turut memaklumkan bahawa kes ke-41 yang disahkan positif COVID-19 telah pulih dan dibenarkan discaj daripada Hospital Kuala Lumpur, menjadikan 24 kes telah pulih sepenuhnya setakat ini.

Sehingga 8 Mac 2020, sebanyak 567 sampel telah diuji dan setakat ini tiada sampel yang dikesan positif jangkitan COVID-19.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular