KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes rasuah yang melibatkan Bendahari Agong UMNO dan juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menjadi sedikit tegang ketika prosiding membela diri.

Ianya berlaku apabila Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim, telah meminta beliau menjelaskan ayat di perenggan lapan pernyataan saksinya yang menyatakan beliau sedih melihat perkara dan pendakwaan yang dikenakan terhadapnya.

“Ia adalah tidak adil…anda (Timbalan Pendakwa Raya) daripada awal sudah bercakap kepada media dan merosakkan reputasi saya. Mengapa anda masih mendakwa saya jika anda boleh menggugurkan dakwaan terhadap bekas Menteri Kewangan yang lalu?”, soalnya.

Beliau tidak menamakan bekas Menteri Kewangan yang dimaksudkan tetapi pendakwaan sebelum ini telah menggugurkan tuduhan rasuah terhadap Lim Guan Eng apabila Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan pada tahun 2017.

Julia kemudian dengan sinis memberitahu Tengku Adnan bahawa beliau harus merujuk soalan tersebut kepada Peguam Negara (AG) memandangkan AG memegang kuasa untuk menjatuhkan atau menggugurkan pertuduhan.

“Mengapa anda meminta saya menggugurkan tuduhan? Anda patut merujuk kepada AG”, balas Julia. Tengku Adnan kemudian menjawab, “Ya, rujuk ketua kamu (AG). Tapi sekarang sudah tiada AG, beliau baru meletakkan jawatan”.

Tengku Adnan juga mendedahkan bahawa beliau tidak mengisytiharkan atau merekodkan apa-apa sumbangan politik yang diterima kerana tidak wajib baginya untuk berbuat demikian.

“Saya tidak pernah meminta dana daripada Presiden parti untuk aktiviti politik di bawah kawasan saya. Saya cari dana sendiri. RM2 juta umpama duit poket saya”, tambahnya lagi.

Tengku Adnan kemudian tidak bersetuju dengan kenyataan Julia yang mengatakan bahawa beliau menggunakan wang untuk dirinya sendiri, sebaliknya menegaskan ia adalah untuk kegunaan parti.

“Saya tidak bersetuju, ia bukan hadiah… ia adalah derma politik untuk kegunaan politik, bukan hadiah kepada saya atau sesiapa, kenapa perlu saya laporkan kepada Perdana Menteri, ” katanya.

Tengku Adnan menghadapi pertuduhan menerima RM2 juta daripada ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek kepunyaan Aset Kayamas yang telah dimasukkan ke dalam akaun bank syarikatnya, Tadmansori Holdings.

Jika didapati bersalah, beliau berhadapan dengan hukuman dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan. Perbicaraan disambung semula di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular