Ingat lagi semasa zaman sekolah dahulu, perkara yang paling menyeronokkan sebelum sesi persekolahan bermula adalah membeli alat tulis, beg, kasut dan juga pakaian sekolah yang baharu bersama ibu bapa. Namun, bukan semua orang dilahirkan untuk memiliki kesenangan seperti itu. Ada yang terpaksa menggunakan semula pakaian sekolah lama kerana tidak mampu untuk membeli pakaian baharu.

Tetapi, bagi pelajar ini, kemiskinan bukanlah satu penghalang untuknya menimba ilmu pengetahuan di sekolah. Erlande Monter merupakan pelajar di Sekolah Komprehensif Kebangsaan Lianga, Filipina. Meskipun hidup dalam kedaifan, Erlande tetap ingin meneruskan persekolahan demi menjamin masa depan yang lebih cemerlang. Buktinya, ketika rakan-rakan sekelas menyalin nota di buku, Erlande yang tidak berkemampuan untuk membeli buku telah bertindak inovatif dengan menjadikan daun pisang sebagai buku notanya.

Kegigihan dan keazaman Erlande ternyata mengejutkan semua orang khususnya guru kelas, Arcilyn Azarcon yang kemudian mengambil keputusan untuk berkongsi kisah Erlande di Facebooknya. Menurut perkongsian Azarcon, dia mula menyedari bahawa Erlande menggunakan daun pisang untuk menulis nota ketika sedang mengajar.

Malah, Erlande juga tidak berasa malu dengan buku nota ciptaannya itu. Dia pernah meminta gurunya melihat nota yang ditulis di atas daun pisang itu untuk memastikan dia tidak melakukan sebarang kesalahan. Perkongsian ini kemudiannya menular dengan kadar segera dan menjadi bualan hangat netizen. Ramai pengguna Facebook yang melontarkan pujian dan kata-kata semangat kepada Erlande di atas kegigihannya itu.

Ketika ditanya mengenai cita-citanya apabila meningkat dewasa nanti, Erlande memberitahu Azarcon bahawa dia memasang impian untuk menjadi seorang askar. Justeru, di atas niat untuk mencapai impian berkenaan, Erlande berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan pendidikan di sekolah. Kemiskinan ternyata tidak mematahkan semangat Erlande sebaliknya membuatkan lelaki ini semakin berkobar-kobar demi mencapai cita-cita.

Kisah kegigihan Erlande sememangnya boleh dijadikan satu inspirasi bukan sahaja kepada pelajar sekolah tetapi kita semua. Jangan sesekali jadikan kemiskinan, kewangan dan masa sebagai penghalang untuk kita terus melangkah maju ke hadapan.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular