Berikutan pengumuman tentang dua kes positif COVID-19 oleh Presiden, Joko Widodo di Indonesia baru-baru ini, para penduduk di sana difahamkan telah melakukan pembelian panik di gedung pasaraya dan farmasi.

Rata-rata penduduk difahamkan bersesak di pasaraya bagi membeli barangan dan bekalan secara pukal ekoran rasa bimbang tentang kemungkinan yang bakal berlaku disebabkan oleh penularan wabak ini.

Seorang wanita 60 tahun dari Jakarta Barat, Sandra, berkata bahawa dia berasa agak terkejut melihat barisan panjang di pasaraya yang biasa dikunjunginya. “Saya ke sana untuk membeli barang keperluan seperti yang saya biasa lakukan setiap bulan.

“Namun saya sangat terkejut apabila melihat barisan panjang pada 10 buah kaunter bayaran di pasaraya berkenaan dan ia jarang berlaku, jelasnya pada The Jakarta Post.

Wanita itu juga melihat orang ramai bertindak mengosongkan rak pada pasaraya terbabit dengan membeli beberapa karton mi segera dan juga berbungkus-bungkus makanan sejuk beku. Mereka juga dilihat memakai topeng muka.

Stok makanan lain di pasaraya itu seperti gula, cecair pembasmi kuman dan pembersih antiseptik juga sudah habis. “Ipar duai saya juga menyaksikan situasi sama di pasaraya berdekatan mereka. Keadaan sebegini membuatkan saya turut panik. Saya akhirnya membeli lebih daripada biasa”.

Etty, wanita berusia 58 tahun dari Jakarta Selatan juga mengalami perkara yang sama apabila dia berkunjung ke pasaraya tempatan di Radio Dalam. Dia difahamkan ingin membeli lampin pakai buang untuk cucunya namun tempat letak kereta pula penuh.

“Kereta di belakang saya tidak dapat masuk kerana tempat letak kereta sudah penuh. Saya nampak ramai orang keluar daripada pasaraya dengan menolak tiga buah troli (setiap seorang) dan barisan panjang pada kaunter bayaran. Jadi saya memutuskan untuk pulang sahaja ke rumah”.

Selain daripada pasaraya, penduduk Jakarta turut difahamkan membanjiri farmasi dan kedai ubat untuk membeli cecair pembasmi kuman, selain multivitamin dan topeng muka. Perkara ini diakui Dea, wanita 25 tahun, yang mendapati bahawa banyak barang di farmasi telah habis dijual.

‘Selepas mengetahui pengumuman oleh Jokowi, saya bersama lima orang rakan sekerja pergi ke farmasi berdekatan dengan pejabat kami. Tetapi kami hanya dapat beli multivitamin dan tisu basah sahaja. Barang lain seperti topeng muka dan cecair alkohol telah habis”.

Dia kemudian menuju ke pasaraya di dalam pusat beli belah untuk membeli barangan keperluan namun ianya penuh sesak. “Saya ambil troli terakhir di pasaraya itu. saya lihat orang ramai membeli dalam kuantiti yang banyak – beberapa kampit beras dan mi segera”.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL

Video Popular