Dengkuran ketika tidur bukanlah sesuatu yang menyenangkan, memandangkan ia berpotensi untuk mengganggu tidur orang lain khususnya pasangan.

Ia dapat diringkaskan sebagai bunyi bising dan berpunca daripada saluran pernafasan yang tersumbat. Ia berlaku apabila terdapat sekatan pada aliran udara pada saluran pernafasan di bahagian belakang mulut dan hidung seseorang.

Bunyi berkenaan dikeluarkan apabila tisu di atas saluran pernafasan bergesel dan bergetar antara satu sama lain.

Gambar Hiasan/Photo-AC

Menurut kajian pakar dari Sleep Research Society di Illinois, Amerika Syarikat, pasangan yang kerap berdengkur pada setiap malam berupaya untuk memberi kesan buruk buat tahap kesihatan anda.

Berdasarkan hasil saintifik sekumpulan penyelidik yang bertajuk ‘Snoring : A source of noise pollution and sleep apnea predictor’ mendapati bahawa berdengkur adalah sumber pencemaran bunyi yang berpotensi untuk merendahkan kualiti tidur pasangan.

Mungkin keadaan ini tidak begitu membimbangkan anda bukan? Tetapi pendedahan bunyi semasa sedang tidur merupakan satu faktor risiko yang berpotensi untuk memberikan kesan negatif terhadap tahap kesihatan yang lain.

Ia merujuk kepada pencemaran bunyi. Berdasarkan kajian, pencemaran bunyi yang melebihi 53 desibel (dB) (A) dikaitkan dengan kejadian kardiovaskular yang buruk dalam populasi yang terdedah.

Menerusi eksperimen yang dijalankan pada sekumpulan individu yang berdengkur, para pengkaji mendapati bahawa 14% daripada peserta berdengkur melebihi 53 dB. Manakala 66% daripada mereka berdengkur melebihi 45 dB.

Gambar Hiasan/Pixabay

Para pengkaji juga mendakwa bahawa pendedahan akumulasi pendengaran terhadap tabiat dengkuran ini mampu menyumbang kepada perkembangan penyakit kardiovaskular pada kedua-duanya – individu yang berdengkur dan pasangannya.

Tekanan kardiovaskular pula berpotensi menyebabkan pelbagai perkara, di mana ia memberi tekanan kepada organ penting seperti hati, buah pinggang, otak dan juga mata.

Hal ini kerana ia akan meningkatkan tekanan pada darah yang juga membawa kepada komplikasi kesihatan lain seperti strok dan juga serangan jantung.

Menurut portal MyHealth, antara perkara yang boleh anda lakukan untuk mencegah dengkuran ketika tidur adalah seperti berikut :

  • Kurangkan berat badan (jika mengalami masalah berat badan berlebihan)
  • Kurangkan pengambilan arak atau ubatan yang mempunyai kesan mengantuk
  • Elakkan pengambilan tranquilizer, pil tidur dan antihistamina sebelum tidur
  • Elak pengambilan arak sekurang-kurangnya 4 jam dan makanan berat atau ringan dalam tempoh 3 jam sebelum berehat
  • Amalkan waktu tidur yang tetap setiap hari
  • Utamakan posisi tidur mengiring daripada terlentang
  • Tinggikan bahagian kepala ketika tidur agar lidah tidak tertolak ke belakang

Tetapi adalah lebih baik jika anda yang mengalami masalah berdengkur ini untuk pergi berjumpa sendiri dengan pakar untuk mendapatkan rawatan yang bersesuaian dengan tahap keseriusan dengkuran berkenaan.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP KESIHATAN

Video Popular