JAKARTA – Presiden Indonesia, Joko Widodo mengesahkan dua rakyatnya yang diuji positif dengan COVID-19, di mana kedua-duanya merupakan kenalan rapat dengan warga Jepun yang berkunjung ke negara itu.

“Orang Jepun itu ke Indonesia untuk bertemu dua mangsa berkenaan dan menyebabkan mereka dijangkiti. Ia telah disahkan dan laporan mengenainya telah diserahkan kepada saya pagi tadi oleh Menteri Kesihatan”, katanya.

“Apabila kami menerima maklumat mengenai warga Jepun berkenaan, satu pasukan khas telah dikerahkan segera untuk mengesan individu yang telah ditemui oleh warganegara Jepun itu”, tambahnya lagi.

Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa pihak kerajaan kini bersedia untuk menangani kes COVID-19. “Kami telah menyediakan 100 buah hospital dengan bilik pengasingan selain peralatan yang mengikut piawaian antarabangsa”.

Menurut Menteri Kesihatan, Tewaran Agus Putranto, dua individu berkenaan merupakan penduduk di kawasan Depok, Jawa Barat dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Sulianti Suroso di Jakarta.

“Kedua-duanya (wanita 64 tahun dan anak perempuannya berusia 31 tahun) kini berada dalam keadaan yang baik. Mereka tidak mengalami sebarang masalah pernafasan”, tambahnya lagi.

Sebelum ini, Indonesia yang mempunyai populasi keempat tertinggi di dunia itu tidak merekodkan sebarang kes berkaitan COVID-19 dan ianya menimbulkan keresahan penduduk tentang keupayaan pengesanan negara terhadap virus itu.

Bulan lalu, Indonesia mengkritik hasil kajian di Amerika Syarikat yang mempersoalkan sebab negara dengan populasi lebih 260 juta yang mempunyai hubungan erat dengan China itu, langsung tidak mencatatkan kes COVID-19.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata pihaknya amat prihatin terhadap negara berisiko tinggi dengan sistem kesihatan yang lemah, yang mungkin tidak mempunyai kemudahan untuk mengenal pasti kes-kes virus seperti itu.

Jumlah kematian global susulan epidemik itu kini telah melepasi angka 3,000 dan menurut WHO, virus tersebut lebih mudah dijangkiti pada golongan 60 tahun ke atas dan mereka yang mempunyai rekod kesihatan yang lain.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL KESIHATAN

Video Popular