Penularan wabak COVID-19 yang berasal dari Wuhan di China terus menggemparkan dunia yang kini mencatat hampir 3,000 kematian.

Wabak pneumonia yang mengingatkan dunia kepada sejarah silam wabak Selesema Sepanyol atau ‘Spanish Flu’ yang meragut nyawa 50 juta penduduk dunia pada permulaan abad lalu. Wabak dahsyat yang melepasi mana-mana penyakit berjangkit dalam sejarah dunia, termasuk wabak ‘Black Death’ pada Zaman Pertengahan.

Wabak Selesema Sepanyol melanda dunia dari tahun 1918 hingga 1919 dan merupakan wabak paling dahsyat dalam sejarah manusia. Penulis perubatan Tan Jianchan menyebut dalam bukunya ‘Apocalyptic Time and Space’, bahawa seramai 1 bilion daripada 1.7 bilion penduduk di seluruh dunia telah dijangkiti wabak Selesema Sepanyol dan kira-kira 50 juta orang telah meninggal dunia pada waktu itu.

YouTube/Paparan Skrin

Dalam tempoh itu, iaitu selepas Perang Dunia Pertama, kebanyakan negara tidak mempunyai statistik kematian terperinci, menjadikan jumlah kematian akibat wabak mungkin melebihi 50 juta orang. Jumlah korban ketika Perang Dunia Pertama adalah kira-kira 10 juta orang.

Penularan wabak Selesema Sepanyol dibahagikan kepada tiga gelombang iaitu gelombang pertama berlaku pada musim bunga 1918, gelombang kedua berlaku pada musim luruh 1918, dan gelombang ketiga berlaku pada musim sejuk 1919 hingga musim bunga tahun 1920. 

Pada musim luruh 1918, gelombang itu mencatat kadar kematian tertinggi yang meragut nyawa 200,000 warga Amerika Syarikat pada bulan Oktober. Wabak Selesema Sepanyol yang melanda telah menjadi salah satu satu sebab berakhirnya Perang Dunia Pertama.

Wabak Selesema Sepanyol telah meragut nyawa antara 25 juta hingga 40 juta penduduk dunia dalam tempoh 6 bulan, lebih daripada jumlah kematian Perang Dunia Pertama yang berlarutan selama 52 bulan. 

Perang Dunia Pertama tamat kerana kebanyakan negara yang terbabit dalam peperangan tidak lagi dapat menghantar tentera tambahan untuk bertarung. 

Dengan tidak mengira jumlah kematian secara tepat, tiada keraguan bahawa bilangan mereka yang terbunuh akibat wabak Selesema Sepanyol dalam tempoh yang singkat adalah menjangkaui jumlah kematian sebarang penyakit berjangkit dalam sejarah manusia.

YouTube/Paparan Skrin

Selesema Sepanyol juga dikenali sebagai ‘Spanish Lady’, tetapi penyakit ini tidak berasal dari Sepanyol. Maklumat perubatan menunjukkan bahawa Selesema Sepanyol pertama kali ditemui di dalam kem tentera di Kansas, Amerika Syarikat. 

Kes pertama yang dilaporkan bermula ketika sebelum makan tengah hari pada 11 Mac 1918, apabila seorang askar telah pergi ke hospital kerana demam, sakit tekak, dan sakit kepala. Doktor hanya mendiagnos ia hanya demam selesema biasa.

Tanpa disangka, pada waktu tengah hari hari itu juga, lebih daripada 100 orang askar telah mengalami gejala yang sama seorang demi seorang. Beratus-ratus pesakit muncul di berek dalam masa beberapa hari. Pada bulan-bulan berikutnya, virus itu telah merebak hampir ke seluruh berek tentera di Amerika Syarikat.

Apabila tentera Amerika Syarikat menyertai medan perang di Eropah dalam Perang Dunia Pertama, virus selesema itu juga turut mendarat, dan seterusnya merebak ke Sepanyol, menyebabkan kira-kira 8 juta warga tempatan Sepanyol dijangkiti. 

Pihak berkuasa tempatan mula mengumumkan wabak itu, dengan itu nama ‘Selesema Sepanyol’ atau ‘Spanish Flu’. 

Pada bulan September tahun yang sama, wabak itu melanda Boston di Amerika Syarikat. Pada bulan Oktober 1918, kematian akibat virus influenza di Amerika Syarikat adalah setinggi 5% di kalangan warganya.

YouTube/Paparan Skrin

Pergerakan yang kerap di kalangan tentera semasa perang menyebabkan penyebaran selesema itu berlaku dengan pantas, sehingga ada yang menyebarkan teori konspirasi, mengatakan bahawa Selesema Sepanyol adalah perang senjata biokimia yang dilancarkan oleh Jerman.

Pandemik Selesema Sepanyol membunuh mangsanya hanya dalam masa beberapa jam selepas gejala pertama muncul.

Wabak besar yang menular ini mempunyai ciri yang aneh iaitu selesema yang terdahulu biasanya mengancam orang tua dan kanak-kanak yang mana keluk kematian adalah berbentuk U, tetapi keluk Selesema Sepanyol berbentuk W di mana pesakit yang dijangkiti lalu meninggal dunia adalah di kalangan golongan muda dan pertengahan umur.

YouTube/Paparan Skrin

Selesema Sepanyol akhirnya meragut nyawa kira-kira 500,000 orang warga Amerika Syarikat dan di Sepanyol termasuk rajanya sendiri iaitu Raja Alfonso XIII. Seramai satu pertiga penduduk Madrid telah jatuh sakit.

England dan Wales merekodkan kira-kira 200,000 kematian termasuk raja Britain, Raja George V sendiri telah jatuh sakit akibat Selesema Sepanyol. 

Terdapat sebuah bandar kecil di Afrika Selatan yang dikhabarkan mayat-mayat telah dikebumikan dengan gulungan rumput kerana kekurangan keranda dan jalan-jalan penuh dengan orang awam yang jatuh sakit pada siang hari. 

YouTube/Paparan Skrin

China juga tidak terkecuali. Seperti di Wuhan dengan pandemik COVID-19, perniagaan dan sekolah ditutup, dan orang ramai berasa tidak selesa dan jatuh sakit. Lebih daripada 40,000 orang telah meninggal dunia akibat penyakit berjangkit Selesema Sepanyol di China dan Taiwan.

Pada masa itu, kakitangan perubatan mengimbas kembali bagaimana Selesema Sepanyol telah menyeksa manusia, dan mereka melihat sendiri penderitaan para pesakit. Pesakit sesak nafas, memuntahkan darah dan akhirnya meninggal dunia akibat lemas. 

Doktor yang membedah mayat mendapati paru-paru pesakit menjadi merah gelap, bengkak, dan dipenuhi dengan cecair merah keruh.

Seorang ahli paramedik yang masih hidup menceritakan dia terus dibayangi trauma dan mimpi buruk kerana tidak dapat melupakan pengalaman ngeri melihat mayat-mayat ‘disusun dari lantai sehingga ke siling seperti susunan kayu api’. 

Selepas 18 bulan melakukan kemusnahan global, Selesema Sepanyol beransur-ansur berkurangan dan reda dengan mencatatkan 50 juta kematian yang dilaporkan menyebabkan ahli keluarga kehilangan orang tersayang yang tidak terkira banyaknya di seluruh dunia.

YouTube/Paparan Skrin

Pada abad yang lalu, orang tidak tahu apa itu patogen yang menyebabkan influenza. Sehinggalah pada tahun 1933, saintis Inggeris bernama Wilson Smith dan beberapa orang saintis lain telah mengasingkan virus influenza manusia yang pertama dan menamakannya virus H1N1. Influenza ini adalah disebabkan oleh virus selesema.

Satu teori tentang virus selesema atau influenza adalah sistem kekebalan tubuh manusia boleh menjadi kacau-bilau apabila ‘penceroboh’ yang tidak dapat dilihat dan dikenal pasti sebelum ini telah menghantar ‘bala tentera’ untuk melawan penyakit sehinggakan tisu yang sihat dalam paru-paru dan organ lain turut menjadi lemah, mengalami kegagalan berfungsi seterusnya kerosakan teruk dengan pantas lalu boleh membawa kematian.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL KESIHATAN

Video Popular